Amanat Pengarah Program Pra Pendidikan Tinggi Bersama Pelajar UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau

TAWAU, 22 APRIL 2022 – Seramai 34 pelajar Pra Pendidikan Tinggi (PPT) UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau telah berkumpul di Makmal Bahasa bagi mengikuti sesi Webinar Amanat Yang Berbahagia Pengarah PPT, Prof Madya Ts. Dr. Aini Jaapar menerusi platform Webex.

Pejabat Pengarah program PPT selaku penganjur webinar tersebut mengumpulkan semua pelajar pra diploma dari seluruh kampus UiTM iaitu Jengka, Kuala Pilah, Kuala Terengganu, Seri Iskandar, Mukah, Kota Kinabalu dan Tawau. Sesi webinar telah bermula seawal pukul 9 pagi dengan perkongsian oleh Pengarah PPT yang sarat dengan motivasi dan panduan berguna khususnya berkaitan tanggungjawab sebagai pelajar Pra Diploma UiTM.

Semoga amanat yang telah disampaikan selama dua jam dapat memberi inspirasi kepada pelajar PPT agar berjaya mencapai kecemerlangan dalam pelajaran dan juga kerjaya pada masa depan.

Amanat secara atas talian ini turut dihadiri oleh Koordinator PPT di UiTM Cawangan Perak, Terengganu, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, Sarawak dan Sabah. Untuk rekod, Amanat Pengarah PPT telah diadakan secara bersemuka di UiTM Cawangan Johor pada 13 April 2022. Seterusnya di UiTM Cawangan Pulau Pinang yang turut dihadiri oleh pelajar dari Cawangan Kedah pada 15 April 2022.