MACHANG, 19 Disember – Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan sekali lagi melakar sejarah apabila berjaya melancarkan Minggu Kelestarian Kampus Hijau (MiKKH) 2021 yang dirasmikan oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Zulkifli Mohamed, Menjalankan Tugas Rektor UiTM Cawangan Kelantan. Program yang dihadiri oleh Timbalan-timbalan Rektor, serta ketua-ketua bahagian dan unit ini menyaksikan simbolik pelancaran Projek Wakaf Pokok serta Perasmian Sentosa Nursery, nurseri pokok hiasan dan herba pertama diwujudkan di UiTM Cawangan Kelantan.
Program ini merupakan salah satu inisiatif bersepadu di bawah Unit Kampus Hijau (UKH) UiTMCK yang diterajui oleh Encik Bakeri Ab. Rahman. Inisiatif ini digerakkan secara agresif oleh beberapa bahagian utama seperti Bahagian Pengurusan Fasiliti dan Unit Kualiti. UKH UiTMCK menggabungkan idea dan tenaga penggerak yang terdiri daripada para pensyarah serta wakil-wakil setiap bahagian dan unit di UiTM Cawangan Kelantan.
Pelancaran program ini bertunjangkan kepada beberapa objektif seperti memberi kesedaran dan lonjakan paradigma terhadap isu alam sekitar dalam kalangan warga kampus, memperkenalkan beberapa inisiatif mampan dan usaha murni lestari dalam menjadikan UiTM Cawangan Kelantan sebagai ‘Kampus Hijau’ serta mengasah bakat kepimpinan dan kemahiran insaniah para aktivis alam sekitar yang baharu agar program seumpama ini dapat dianjurkan secara konsisten dan berkala. Prof. Madya Dr. Zulkifli berharap agar budaya Kampus Hijau ini dapat mendidik warga kampus untuk turut sama mendokong agenda Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals – SDGs) sebagai satu matlamat untuk kesejahteraan bumi pada masa akan datang.
Penyelaras UKH UiTMCK, Bakeri Ab. Rahman menyatakan harapan tinggi agar misi memupuk ekosistem lestari yang sentosa dan sejahtera ini disokong dan digerakkan oleh semua warga kampus tanpa mengira pangkat dan umur. Program disudahi dengan gimik pelancaran MiKKH 2021 dan penyerahan anak-anak pokok hiasan simbolik Projek Wakaf Pokok UiTMCK.