Satu sesi perkongsian ilmu berkaitan dengan isu kesihatan mental di kalangan pelajar telah dianjurkan oleh Unit Kerjaya & Kaunseling UiTM Cawangan Negeri Sembilan pada 3 Disember 2021 yang lalu. Program ini melibatkan penyertaan seramai 100 orang pelajar program Pra Pendidikan Tinggi yang berstatus aktif dan sedang mengikuti pengajian di peringkat Pra Diploma di Kampus Kuala Pilah. Perkongsian selama satu jam tersebut telah disampaikan oleh Pn. Che Ku Farihah selaku Pegawai Psikologi Kanan di Kampus Kuala Pilah, melalui platform atas talian Cisco Webex bermula pada jam 3.00 hingga 4.00 petang.
Menurut Pn. Che Ku Farihah, sesi perkongsian ini merupakan salah satu siri modul yang terdapat di dalam Modul Psikologi bersama pelajar PPT UiTM Kuala Pilah. Pada siri yang pertama ini, beliau telah mengetengahkan tajuk Mental Health Care, di mana ia bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar akan pentingnya penjagaan kesihatan mental dalam kehidupan seharian. Ini kerana statistik dan trend terkini mendapati peratusan kes berkait kesihatan mental di Malaysia semakin meningkat, terutamanya apabila ramai yang tertekan dan terkesan akibat pandemik Covid-19 yang telah memberi impak dalam kehidupan rakyat Malaysia, termasuklah di kalangan para pelajar di institusi pengajian tinggi.
Pelaksanaan Open and Distance Learning (ODL) turut memberi cabaran kepada para pelajar apabila mereka perlu beradaptasi dan menyesuaikan diri dengan norma baharu dalam aktiviti pembelajaran dan pengajaran. Melalui sesi perkongsian ini, para pelajar telah diberikan beberapa amalan yang boleh dipraktikkan untuk memastikan kesihatan mental mereka terjaga, di samping tips berguna sepanjang mengikuti kuliah secara ODL ini. Antaranya adalah dengan berkongsi perasaan dengan orang yang dipercayai, sentiasa berhubung dengan keluarga dan rakan, amalkan diet seimbang dan berkhasiat, pengurusan masa yang efektif, serta sentiasa melakukan aktiviti senaman ringan dan beriadah.
Di dalam perkongsian ini juga, para pelajar turut dinasihatkan untuk tidak terlalu cepat menilai seseorang individu sekiranya mereka berdepan dengan individu-individu yang mengalami masalah kesihatan mental. Pelajar perlulah menunjukkan sifat simpati dan empati, berusaha untuk menjadi pendengar yang baik, mengucapkan kata-kata yang positif, selain memberikan sokongan moral kepada individu yang berjuang melawan penyakit berkenaan. Di samping itu, bagi pelajar yang beragama Islam, terdapat sepotong doa yang boleh diamalkan agar diri kita sentiasa diberi kekuatan dalaman dan perlindungan daripada sifat-sifat negatif.
Di akhir program, Pn. Che Ku Farihah telah berkongsikan satu teknik yang dinamakan sebagai teknik grounding yang mana ia boleh diamalkan oleh pelajar apabila mereka mengesan diri mereka mula menunjukkan tanda-tanda resah dan bimbang. Melalui teknik ini, ia sedikit sebanyak dapat membantu mereka untuk meredakan keresahan dan dapat meyakinkan minda untuk kembali ke alam realiti. Diharapkan dengan perkongsian ini, para pelajar akan lebih cakna dengan kesihatan diri masing-masing, dan sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat merangkumi aspek fizikal, rohani, intelektual, sosial dan emosi.
Tidak ketinggalan, pelajar turut diberi pendedahan tentang cara-cara untuk menghubungi kaunselor dengan menggunakan Sistem Maklumat Kerjaya & Kaunseling, https://counselling2u.uitm.edu.my yang dapat diakses melalui atas talian. Selain itu, pelajar juga boleh menghubungi kaunselor melalui email atau melalui talian 064832357, nombor rasmi pejabat kaunselor untuk bercakap atau whatsapp dengan kaunselor. Pendekatan ini diambil bagi memudahkan pelajar untuk menghubungi kaunselor mengikut keselesaan mereka.