Minggu Destini Siswa (MDS) Pelajar Pra Pendidikan Tinggi (PPT) Kampus Pasir Gudang, Johor Darul Takzim

Buat julung kalinya, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Pasir Gudang telah menerima pelajar-pelajar Pra Pendidikan Tinggi (PPT) untuk melanjutkan pengajian Pra Diploma Sains. Pembentukan Pejabat PPT di kampus Pasir Gudang diyakini dapat membantu merealisasikan objektif PPT yang mensasarkan pengambilan maksimum 6,000 pelajar Pra Diploma setahun menjelang 2025. Ia selari dengan misi PPT untuk mempertingkat pencapaian akademik pelajar menerusi Program Pra Diploma seiring dengan matlamat menerapkan nilai-nilai murni etika dan keprofesionalan graduan UiTM.

Kampus UiTM Pasir Gudang.
Untuk permulaan, PPT Kampus Pasir Gudang hanya menawarkan program Pra Diploma Sains (PD007/PD008) sahaja dan ianya dilaksanakan secara fizikal. Sesi Oktober 2021 memperlihatkan seramai 16 pelajar telah mendaftar yang terdiri daripada 8 pelajar untuk kod PD007 dan 8 pelajar lagi telah mendaftar di bawah kod PD008.

Sebelum memulakan pengajian kali pertama, pelajar-pelajar PPT diwajibkan menghadiri Minggu Destini Siswa (MDS). Ia bertujuan untuk memperkenalkan pelajar-pelajar baru dengan pelbagai jabatan, bahagian dan unit-unit universiti yang terdapat di UiTM. Namun begitu, disebabkan pandemik Covid-19 yang telah melanda negara dan seluruh dunia, maka UiTM telah berkeputusan untuk melakukan MDS secara atas talian sahaja.

Pelajar mengikuti MDS secara atas talian.
Di Kampus Pasir Gudang, program MDS untuk pelajar-pelajar PPT telah berlangsung secara atas talian melalui siaran YouTube. Para pelajar tidak perlu menghadirkan diri secara fizikal buat masa kini dan boleh berlangsung di mana-mana mereka berada tidak kira samada di rumah sendiri mahupun di kolej kediaman. Tempoh program MDS telah berlangsung selama 4 hari bermula 27 September 2021 hingga 30 September 2021.

Pelajar mengikuti MDS dari kediaman sendiri.
Antara taklimat yang telah disampaikan kepada pelajar-pelajar PPT sepanjang program MDS adalah seperti Taklimat Hal Ehwal Pelajar, Taklimat Unit Zakat, Taklimat Unit Kesihatan, Taklimat UPK dan Taklimat MASMED. Sebagai tambahan, sesi Tahsinul Solah turut diadakan untuk memperkasakan sifat kerohanian dalam diri pelajar-pelajar demi mempersiapkan diri menempuhi cabaran dan dugaan sewaktu di universiti. Suatu perkara yang tidak boleh dilupakan adalah amanat yang diberikan oleh Rektor dan Timbalan Naib Canselor UiTM yang ternyata begitu memberi kesan dan menyentuh jiwa para pelajar.

Pelajar  tekun menjalani MDS dari kediaman masing-masing.
Ternyata, para pelajar dapat melengkapkan program MDS mereka dengan jayanya. Walaupun MDS yang mereka lalui agak berbeza kerana ia tidak sama seperti yang dilakukan secara fizikal seperti sebelumnya tetapi, intipati yang diperoleh daripada program MDS tersebut sama sekali tidak berkurang malahan lebih bermanfaat buat mereka semua. Pengalaman yang mereka peroleh sewaktu program ini amat berguna dan boleh diguna pakai InsyaAllah buat selamanya. UiTM Di Hatiku.