Program ‘Service-Learning Malaysia University for Society’(SULAM) UiTM Cawangan Pahang

Program ‘Service-Learning Malaysia University for Society’ (SULAM) merupakan satu kaedah pengajaran dan pembelajaran yang menggabungkan objektif pembelajaran kursus dengan khidmat komuniti yang mana melibatkan pelajar berinteraksi dengan komuniti bagi menyelesaikan permasalahan setempat dengan menggunakan pengetahuan dan kemahiran yang mereka pelajari di kelas.

Seramai 13 orang pelajar program AT220 Ijazah Sarjana Muda Sains Teknologi dan Pengurusan Perladangan secara ePJJ dari Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA) UiTM Cawangan Pahang (UCPh) Kampus Jengka telah menyanjurkan program SULAM bersama pelajar Sekolah Agama Maahad Muhammadi (Perempuan), Negeri Kelantan yang diselia oleh pensyarah kursus berkenaan iaitu Cik Nurulatika Minhad.

Program yang bertajuk “Knowledge Transfer Program: Home Plantation” ini telah mendapat kerjasama daripada National STEM Association dan Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan (UPEN). Program ini telah diadakan pada 12 Jun 2021 (Sabtu) jam 9 pagi secara maya menerusi platform Google Meet dan Youtube.

Pelbagai input dan ilmu dikongsikan berkaitan dengan penghasilan baja dan racun organik yang boleh dijadikan projek inovasi para pelajar. Pelbagai inovasi mudah boleh dilakukan dengan menggunakan bahan dapur dan bahan yang boleh ditemui di rumah. Dalam sesi ini, wakil pelajar, Shamsudin bin Ismail dan Adam bin Zakaria telah berkongsi mengenai projek inovasi mereka iaitu Pine Man-Tool dan Topping 24. Pine Man-Tool telah digunakan untuk menyelesaikan masalah pembajaan tanaman nanas. Topping 24 pula merupakan jalan penyelesaian untuk peningkatan hasil penuaian madu kelulut.

Program ini mendapat maklumbalas yang amat baik daripada pihak komuniti. Peserta menunjukkan minat kepada maklumat yang dikongsikan. Berlaku peningkatan tahap pengetahuan dan kesedaran pihak komuniti terhadap mudahnya inovasi menggunakan bahan-bahan terbuang.

Program SULAM ini mendokong Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDGs) yang terdiri daripada 17 matlamat. Dua matlamat SDG telah berjaya dicapai melalui program ini iaitu matlamat SDG kedua: Zero Hunger dan matlamat SDG yang keempat: Quality Education.

Perkongsian ini diharapkan dapat memberikan idea kepada pelajar Sekolah Agama Maahad Muhammadi (Perempuan) untuk merancang produk inovasi mereka yang berasaskan pertanian dengan menggunakan bahan yang sedia ada dan mudah dijumpai selain tidak melibatkan kos yang tinggi. Pemindahan ilmu dari komuniti ini dapat meningkatkan kemahiran penyampaian maklumat dan adab komunikasi melalui pemindahan ilmu atas talian. Selain itu, perkongsian ini turut mengeratkan kerjasama dengan komuniti terlibat.