Pelajar Pra-Diploma Sains (Aliran Stem C Dan Sastera) Mulakan Langkah Pertama Pada Sesi Oktober 2021

KUALA PILAH, 12 OKTOBER 2021 (SELASA): Program Pra Pendidikan Tinggi (PPT) UiTM telah membuka lembaran baharu dengan menawarkan program Pra-Diploma Sains (Aliran STEM C dan Sastera) atau ringkasnya Pra STEM C bermula pada kemasukan sesi Oktober 2021. Buat julung kalinya, seramai 20 orang pelajar telah menerima tawaran ke program Pra STEM C ini bagi sesi 1 2021/2022 dan ditempatkan di UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Kuala Pilah. Para pelajar juga telah pun berjaya mengikuti Minggu Destini Siswa (MDS) serta Minggu Edu 5.0 UiTM yang diadakan sepenuhnya secara atas talian bermula pada 27 September 2021 yang lalu.

Program Pra STEM C ini adalah inisiatif daripada Fakulti Sains Gunaan (FSG) dalam menyediakan akses pendidikan kepada calon-calon lepasan SPM daripada aliran sastera untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik khususnya di UiTM. Lepasan program Pra STEM C ini layak diterap ke hampir 66 buah program Diploma di UiTM sama ada dalam gugusan sains dan teknologi, mahupun sains sosial mengikut kecenderungan minat dan kerjaya masing-masing.

Program Pra STEM C ini boleh dimohon oleh calon lepasan SPM yang mengambil pakej mata pelajaran STEM C atau Sastera dan Kemanusiaan di peringkat sekolah menengah. Kemasukan ke program Pra STEM C ini juga terbuka kepada calon lepasan SPM tahun semasa dan 5 tahun ke belakang, anak Melayu / anak Orang Asli / anak Negeri Sabah / anak Negeri Sarawak, serta memenuhi syarat am UiTM iaitu lulus SPM dengan mendapat minimum 3 kepujian termasuk subjek Bahasa Melayu, Lulus Sejarah, Lulus Bahasa Inggeris, Kepujian dalam Matematik / Matematik Tambahan, serta mendapat sekurang-kurangnya gred B dalam mata pelajaran Sains.

Pelajar yang ditawarkan ke program ini akan mengikuti sesi pembelajaran selama 2 semester, dan diberikan pendedahan khusus terhadap subjek sains tulen seperti Biologi, Fizik, Kimia, Matematik, Bahasa Inggeris dan Kemahiran Belajar. Ini bertujuan untuk mempersiapkan pelajar agar dapat berdaya saing sewaktu mengikuti pembelajaran di peringkat diploma kelak. Selain UiTM Cawangan Negeri Sembilan, program Pra STEM C ini juga akan turut dibuka di 7 buah lagi kampus cawangan iaitu di UiTM Cawangan Perlis (Kampus Arau), UiTM Cawangan Pulau Pinang (Kampus Permatang Pauh), UiTM Cawangan Pahang (Kampus Jengka), UiTM Cawangan Johor (Kampus Pasir Gudang), UiTM Cawangan Terengganu (Kampus Bukit Besi), UiTM Cawangan Sarawak (Kampus Mukah) dan UiTM Cawangan Sabah (Kampus Tawau).

Dengan adanya program Pra-Diploma Sains (Aliran STEM C dan Sastera) ini, PPT UiTM kini menawarkan empat program termasuk Pra Diploma Sains (PD007/008), Pra Diploma Perdagangan (BA002/003) dan Pra Diploma Agroteknologi (AT001/002) yang membabitkan 13 buah kampus cawangan UiTM di seluruh negara. Sekiranya calon lepasan SPM berhasrat untuk melanjutkan pengajian di UiTM, calon boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari portal rasmi PPT melalui https://pppt.uitm.edu.my.