KOTA SAMARAHAN, 30 SEPTEMBER 2021 (KHAMIS): Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur (FSPU), UiTM Cawangan Sarawak mula diperkenalkan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak pada tahun 2005. Ia pada awalnya hanya menawarkan dua program iaitu program Diploma Bangunan (AP116) dan Diploma Ukur Bahan (AP114) dan program Ijazah Sarjana Muda Ukur Bahan (Kepujian) (AP224). Ia telah membuka pintu kepada pelajar bermula dari September 2015. Lawatan pemeriksa luar peperiksaan akhir untuk program Sarjana Muda Ukur Bahan (Kepujian) (AP224) dan program Diploma Ukur Bahan (AP114) telah diadakan pada 29 dan 30 September 2021 (Rabu dan Khamis) bertempat di Universiti Teknologi MARA, Cawangan Sarawak.
Antara lain tujuan lawatan ini adalah sebagai keperluan akreditasi oleh pihak Lembaga Juruukur Bahan Malaysia (LJBM) untuk program AP114 dan AP224 di UiTM Sarawak. Ia juga salah satu kaedah kawalan kualiti pengajaran dan pembelajaran bagi program tersebut. Akreditasi ini amat penting untuk menilai tahap kualiti pengajaran dan pembelajaran kursus tersebut agar ianya mencapai kualiti setanding dengan universiti lain dan memenuhi keperluan industri.
Lawatan ini telah dihadiri oleh seorang pemeriksa dari bidang akademik iaity Profesor Madya Sr Dr. Mohd Suhaimi bin Mohd Danuri dan seorang dari industri, iaitu Sr Destilla binti Hj Mohammad Azami.