Program Wakaf Buku 4.0 Perpustakaan UiTM Cawangan Pahang ke Penjara Pahang

Wakaf Buku merupakan antara program utama yang dilaksanakan oleh Perpustakaan UiTM Cawangan Pahang (PUiTMCPh). Wakaf buku kali ke-empat ini yang diberi nama Wakaf Buku 4.0 merupakan program yang menyokong maklumat yang diterima dari pautan dibawah:  “https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/09/860316/penjara-pahang-perlu-buku-untuk-banduan” iaitu keperluan bahan bacaan seperti buku ilmiah, majalah dan al-quran oleh banduan-banduan di Penjara Pahang.

Pihak PUiTMCPh telah terpanggil untuk mengumpul dan menyumbang bahan bacaan dari warganya kepada pihak Penjara Pahang. Selain itu, objektif program ini juga adalah untuk membuka serta membina jaringan kerjasama antara pihak UiTM Cawangan Pahang dan Jabatan Penjara Pahang seterusnya untuk menggalakkan budaya membaca dikalangan warga penjara.

Program ini dijalankan secara berfasa iaitu bermula dari fasa pengumpulan bahan sedia ada di PUiTMCPh. Fasa 1 adalah penyerahan bahan bacaan yang tersedia manakala Fasa 2 adalah penyerahan buku yang akan disumbangkan oleh warga UiTM Cawangan Pahang dan orang awam.


Pada 13 September 2021, telah diadakan satu Sesi Ramah Mesra bersama YBhg. KP Dato’ Ab Basir bin Mohamad, Pengarah Jabatan Penjara Negeri Pahang dan Professor Ts. Dr. Mohd Ilham Bin Adenan, yang Menjalankan Tugas Rektor UiTM Cawangan Pahang bersempena Program Wakaf Buku 4.0. Sesi ini juga turut disertai KIP Mohd Zulhairi Bin Jusof, Penolong Ketua Bahagian Parol dan Perkhidmatan Komuniti Negeri Pahang, Jabatan Penjara Malaysia, Puan Hajah Rosnita Binti Ja’afar, Timbalan Ketua Pustakawan UiTM Cawangan Pahang, Encik Mohd Azizul Sulaiman, Koordinator Unit Komunikasi Korporat, Puan Nurfarawahidah Badruesham, Pustakawan Kanan Perpustakaan Al-Bukhari (PAB) Kampus Jengka, Cik Muniratul Husna Mohamad Zaki, Pustakawan Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) Kampus Raub serta empat orang Ahli Jawatankuasa program Wakaf Buku 4.0. Sesi ini dijalankan secara maya menerusi platform Google Meet yang bertujuan memaklumkan hasrat dan perbincangan lanjut mengenai program yang dijalankan serta membina jaringan kerjasama dimasa hadapan antara pihak UiTM Cawangan Pahang dan Jabatan Penjara Pahang.


Seterusnya, pada 15 September 2021, pihak PUiTM telah melakar sejarah dengan kerjasama pertama bersama Jabatan Penjara Pahang di mana wakil Jabatan Penjara Pahang telah hadir ke Perpustakaan Al-Bukhari (PAB) Kampus Jengka untuk sesi penyerahan bahan bacaan. Sesi ini disempurnakan dengan kehadiran Professor Ts. Dr. Mohd Ilham Bin Adenan yang Menjalankan Tugas Rektor UiTM Cawangan Pahang, Puan Hajah Rosnita Binti Ja’afar, Timbalan Ketua Pustakawan UiTM Cawangan Pahang, serta pegawai-pegawai dan wakil dari Perpustakaan UiTM Cawangan Pahang yang terdiri daripada Perpustakaan Al-Bukhari (PAB) Kampus Jengka dan Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) Kampus Raub.

Seramai tiga orang wakil dari Jabatan Penjara Pahang diketuai oleh KIP Mohd Zulhairi Bin Jusof, Penolong Ketua Bahagian Parol dan Perkhidmatan Komuniti Negeri Pahang, Jabatan Penjara Malaysia telah hadir ke PAB Kampus Jengka bersama dua lagi wakil dari Jabatan Penjara Pahang untuk menerima sumbangan Wakaf Buku 4.0 mengikut Standard Operasi Prosedur (SOP) yang telah ditetapkan. Penyerahan sebanyak 200 naskhah bahan bacaan telah berjaya diserahkan kepada wakil pihak Penjara Pahang bagi Fasa 1.

Seterusnya, aktiviti pengumpulan bahan bacaan bagi Fasa 2 bermula pada 14 September 2021 sehingga 29 September 2021. Penyumbang boleh mewakafkan buku-buku baru atau terpakai secara walk-in ke Perpustakaan Al-Bukhari (PAB) Kampus Jengka atau Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) Kampus Raub.

Penyumbang yang ingin mewakafkan bahan bacaan perlulah mengisi borang pendaftaran secara atas talian menerusi pautan: https://bit.ly/WakafBuku4 dan sebarang pertanyaan boleh dihantar ke alamat e-mel rasmi PUiTM puitmphg@uitm.edu.my atau boleh juga menghubungi nombor yang tertera seperti berikut 010-777 5217 (https://wa.me/60107775217?text=WakafBuku4.0).