27 Julai 2021- UiTM telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Institute of Industry and Academic Research Incorporated, Philippines (IIARI). IIARI adalah sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang didaftarkan di bawah Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Filipina (SEC) dengan nombor pendaftaran syarikat CN202004359. Organisasi ini diasaskan berdasarkan empat tunggak utama: penyelidikan, pendidikan, latihan dan khidmat masyarakat. Ini bertujuan untuk menghasilkan jurnal akademik yang berkualiti, menganjurkan seminar dan persidangan antarabangsa, industri dan akademik. Selain itu bertujuan mengembangkan sumber akademik digital dan memberikan perkhidmatan yang meluas kepada seluruh warga Filipina.
Hubungan MoU yang telah diusahakan oleh Ts. Dr. Duratul Ain Tholibon, dari Fakulti Kejuruteraan Awam, UiTM Cawangan Pahang dan Ts. Dr. Masyitah Md. Nujid dari Fakulti Kejuruteraan Awam, UiTM Cawangan Pulau Pinang telah memenuhi petunjuk prestasi PI No. 82 iaitu MoU dengan industri antarabangsa termasuk NGO, dan PI No. 90. iaitu MoU baru dengan universiti antarabangsa yang berkaitan dengan aktiviti akademik atau penyelidikan.
Perjanjian MoU ini telah ditandatangani secara kaedah desk to desk yang telah diwakili oleh YBhg. Prof Ts. Dr Mohd Ilham Bin Adenan, Menjalankan Tugas Rektor UiTM Cawangan Pahang, manakala IIARI telah diwakili oleh Presiden, Dr. Rodrigo M. Velasco. Ikatan perjanjian MoU ini akan dijalinkan selama 1 tahun bagi meningkatkan kerjasama antara UiTM dan IIARI. Dengan termetrinya MoU ini diharap dapat memperkukuh, mempromosikan dan mengembangkan kolaborasi antarabangsa dalam bidang akademik, budaya dan penyelidikan. Ini adalah selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) No 9, 13 dan 17 yang melibatkan kerjasama antarabangsa dan inovasi antara agensi NGO khususnya berkerjasama demi matlamat. Semoga usaha ini akan menyerlahkan ketampakan UiTM di peringkat global.