MACHANG, 10 Mei – Seramai 175 pelajar diploma daripada Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara UiTM Cawangan Kelantan Kampus Machang di sini berjaya mengumpul dana sebanyak RM28,280 yang akan disumbangkan kepada badan NGO iaitu Volunteer i Care (ViC) bagi membantu insan yang memerlukan di sekitar Kelantan.
Objektif program ini adalah bertujuan untuk memanifestasikan semangat kesukarelawanan dalam diri mahasiswa serta membantu masyarakat yang lebih memerlukan tanpa mengira kaum, agama dan bangsa sekaligus dapat menjalinkan hubungan yang baik bersama komuniti setempat.
Rektor UiTM Cawangan Kelantan, Prof. Madya Dr. Zulkifli Mohammed berkata program Mesra Kasih Mahasiswa anjuran Fakulti Pengurusan dan Perniagaan ini merupakan satu inisiatif terbaik yang mampu memberi impak dalam memupuk nilai rohaniah dan insani dalam jiwa mahasiswa.
Katanya, ironinya daripada program seperti ini para pelajar dapat merasai sendiri keperitan dan kepayahan golongan yang kurang bernasib baik ini dalam usaha mereka mengubah nasib kehidupan ke arah yang lebih baik.
Tambahnya lagi, beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung bagi merealisasikan program ini. “Kita perlulah jadikan program ini sebagai sebahagian daripada latihan harian kita. Hal ini kerana kita diingatkan bahawa pemurah itu bukan hanya di waktu bulan ramadhan, tetapi ianya juga harus dipraktikkan di bulan-bulan yang seterusnya” katanya semasa majlis penyerahan dana disini.
Selain itu, penasihat program Puan Siti Sarah Mohamad berkata, melalui program ini pelajar dapat melatih diri dalam membina perhubungan dengan masyarakat setempat, badan sukarelawan, media dan badan kerajaan.