Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) sekali lagi memacu teknologi di dalam Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) secara atas talian. Bermula 25 Februari lepas, FSKM memperkenalkan instruksional pengajaran baharu iaitu Syarahan Selari Hibrid (Hybrid Synchronous) di mana P&P berjalan dengan mengumpulkan pensyarah serta pelajar dari pelbagai lokasi fizikal dan atas talian pada masa yang sama.
Seiring perkembangan semasa, syarahan selari hybrid ini berupaya meningkatkan kompetensi bersosial dan berkomunikasi di samping memberi pendedahan pengantarabangsaan kepada warga fakulti. Syarahan pertama telah disiarkan secara langsung melalui beberapa platform termasuk saluran Youtube, aplikasi Cisco Webex, dan juga secara bersemuka. Kaedah bersemuka yang dilakukan serentak di lokasi bilik kuliah Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan di negara Uzbekistan telah dihadiri oleh para pensyarah dan pelajar dari tiga (3) universiti iaitu UiTM, National University of Uzbekistan (NUUz) dan Samarkand State University (SamsU), Uzbekistan. Syarahan disampaikan oleh Professor Matematik, Professor Dr Isamiddin Rakhimov daripada FSKM, UiTM Shah Alam melibatkan tajuk Kumpulan dan Aljabar. Sesi ini turut memberi peluang kepada para peserta untuk berinteraksi dan bersoal jawab dengan Professor Dr Isamiddin. Pihak fakulti akan sentiasa berusaha meningkatkan keupayaan teknikal agar kualiti audio dan video berada ditahap yang terbaik.
Sesi syarahan ini akan terus dijalankan secara selari hibrid pada setiap hari Selasa dan Khamis pada jam 5.30 petang sehingga 6.50 petang waktu Malaysia di saluran Youtube ‘Centre for Mathematics Studies, UiTM’. Inisiatif ini turut menyasar untuk melibatkan lebih banyak universiti luar negara yang bekerjasama dengan UiTM di masa hadapan, bersesuaian dengan pelan strategik UiTM2025 untuk menjadi universiti bertaraf global.