MACHANG –17 Februari, Jawatankuasa Kecil Komuniti Penyayang dan Khidmat Masyarakat, Akademi Pengajian Bahasa dengan kerjasama Unit Komunikasi Korporat & Koperasi Kakitangan UiTMCK Berhad telah berjaya menganjurkan Program Penyampaian Sumbangan Pasca Banjir UiTM-KPT ‘Freemarket 3.0: Condong Ditumpil, Lemah Dianduh’.
Rektor UiTM Cawangan Kelantan, Prof Madya Dr Zulkifli Mohamed, berkata program bantuan Freemarket ini sedikit berbeza dengan konsep asal pelaksanaanya yang dijalankan secara terbuka pada tahun-tahun sebelumnya. Disebabkan oleh pematuhan Standard Operation Procedure (SOP) pihak penganjur membuat keputusan untuk menjalankan program ini secara bersasar di mana sumbangan disampaikan terus kepada Ketua Jajahan Kuala Krai, YM Hj. Tengku Abdul Rahman bin Tuan Yunus juga selaku Ketua Bahagian Pengurusan Operasi dan Bencana Jajahan Kuala Krai kepada mangsa banjir.
Katanya lagi, program ini adalah sebagai kesinambungan usaha murni pihak Naib Canselor UiTM di bawah Program Misi Bantuan Kemanusiaan Pasca Banjir UiTM-KPT dalam usaha membantu keluarga terjejas banjir. Pengumpulan barangan sumbangan adalah berpusat di Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai.
“Jumlah keseluruhan yang berjaya dikumpul daripada sumbangan warga UiTM serta orang awam melalui inisiatif ini adalah berjumlah RM6400.00. Proses pembelian barangan keperluan harian seperti beras, makanan kering, alatan kebersihan diri dan topeng muka dikendalikan oleh Jawatankuasa Freemarket3.0 dan Koperasi Kakitangan UiTMCK Berhad. Seramai 100 buah keluarga telah dikenal pasti sebagai penerima sumbangan ini. Pengagihan barang sumbangan dibuat secara berperingkat di mana pada hari pertama program, ia hanya melibatkan beberapa keluarga di Mukim Sungai Pertang sahaja.
“Pihak penganjur mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam memastikan kejayaan seumpama ini. Semoga program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dan melibatkan lebih ramai penyumbang, penerima serta badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan yang sudi menjalankan kerjasama strategik dengan UiTM Cawangan Kelantan. Semoga program seperti ini juga dapat disebar luas ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan, disini, semalam.