Program 1 Alumni 1 Laptop beri sinar baru kepada mahasiswa B40

Permatang Pauh –  Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni (PJIM&A) dengan kerjasama Unit Pra-Pendidikan Tinggi (PPT) UiTM Cawangan Pulau Pinang telah menyambut baik inisiatif Pusat Jaringan ALUMNI Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang memperkenalkan program 1 Alumni 1 Laptop dengan tujuan untuk membantu mahasiswa B40 menjalani pembelajaran secara dalam talian. Hal ini demikian kerana pihak UiTM Cawangan Pulau Pinang terutamanya di bawah program PPT telah mendapat banyak permohonan bantuan komputer riba atau laptop daripada mahasiswa yang kurang berkemampuan bagi meneruskan pengajian semasa tempoh pandemik Covid-19.

Hasil daripada perbincangan awal dengan wakil alumni iaitu Puan Rojihan Hamzah bersama suami yang juga alumni UiTM, Encik Azharin Shaari, inisiatif ini seterusnya dihebahkan kepada alumni-alumni lain. Hasilnya, dalam tempoh yang sangat singkat, sebanyak 30 laptop terpakai berjaya dikumpulkan dan diserahkan kepada pemohon. Seramai 24 pemohon menerima laptop di dalam kampus, 5 laptop dihantar ke rumah pemohon manakala satu lagi dipos kepada pemohon yang berada di Langkawi.

Penyerahan laptop kepada mahasiswa B40 telah disampaikan secara berperingkat oleh Rektor, Prof. Ts. Dr. Salmiah Kasolang, Prof. Madya ChM Dr. Nor Aziyah Bakhari (Timbalan Rektor PJIM&A), Ts. Dr. Mohamad Rozaiman Aziz (Timbalan Rektor HEP), Puan Suhaiza Hasan (Koordinator PPT) dan Dr Nor Azlan Othman, Koordinator ICAN, UiTM Cawangan Pulau Pinang. Salah seorang penerima laptop ini adalah Muhammad Saifuddin bin Zamzuri, pelajar semester pertama Diploma Kejuruteraan Awam (FKA) dari Langkawi, Kedah manakala pelajar PPT yang telah menerima sumbangan adalah Muhamad Faizzulizwan Bin Mohd Nazri, Noor Syafika Mokhtar, Amirul Azri Bin Marzuki, Muhamad Zharif bin Yusri, Amsyar Hadif bin Ahmad, Nurifatin Afiqah Binti Roselee dan Mohamad Iqmal Bin Abdul Rani. Sehingga hari ini, pengumpulan laptop baru dan terpakai daripada alumni masih berjalan. Semoga bantuan ini menjadi dorongan dan semangat untuk mereka belajar dengan lebih tekun. Semua penerima menzahirkan rasa amat bersyukur kerana terpilih sebagai penerima laptop melalui program ini.

Akhir kata, dengan penganjuran program ini, mahasiswa yang kurang berkemampuan dapat meneruskan pembelajaran mereka secara dalam talian berikutan dengan pandemik Covid-19 yang menjadi penghalang untuk mereka belajar secara bersemuka. Program seperti ini memberi peluang kepada alumni untuk menyumbang dan berbakti semula kepada universiti yang banyak berjasa kepada mereka. Selain itu, menerusi program seperti inilah UiTM dilihat lebih peka dalam menjaga kebajikan mahasiswa yang kurang berkemampuan dan diharapkan program sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan.