Liputan Inisitatif Usahawan Sukan Fakulti Pendidikan di Planet Sukan RTM1

Rancangan Planet Sukan yang bersiaran secara langsung pada 1 November 2020 di saluran TV1 telah menampilkan Dekan Fakulti Pendidikan, Yang Berbahagia Prof. Madya Dr. Nabilah Abdullah, untuk segmen wawancara yang bertajuk ‘Usahawan Sukan Sebagai Kerjaya di Kalangan Atlet dan Mahasiswa’. Selain Prof. Madya Dr. Nabilah, segmen tersebut turut menampilkan Sazali Samad, Atlet Bina Badan Negara yang tidak asing lagi yang turut berkecimpung di dalam bidang keusahawan sukan.

Fakulti Pendidikan menawarkan Program Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) dan selain mengisi keperluan tenaga kerja guru-guru peringkat sekolah menengah, sejumlah besar graduan Fakulti Pendidikan turut berkecimpung di dalam dunia keusahawanan.  Dalam memenuhi aspirasi Pendidikan Abad ke-21 dan dalam menghadapi cabaran pandemik Covid-19, lulusan universiti perlu keluar daripada kepompong pemikiran job seeker tetapi menyahut cabaran sebagai job creator. Menyedari signifikan melahirkan graduan yang berjiwa usahawan, para pelajar Fakulti Pendidikan didedahkan dengan pelbagai program dan inisiatif yang berteraskan keusahawanan.

Sesi wawancara turut membariskan Prof. Madya Dr. Badrul Isa, Koordinator Keusahawanan Fakulti Pendidikan, sebagai salah seorang ahli panel. Wawancara Prof. Madya Dr. Badrul disempurnakan melalui siaran lintas langsung ke kediaman beliau melalui aplikasi Skype. Mod wawancara atas talian ini dilakukan bagi memenuhi prosedur penjarakan fizikal serta noma baharu.

Menemani Prof. Madya Dr. Nabilah Abdullah di Studio Radio Television Malaysia (RTM) ialah Dr. Zarizi Ab Rahman, Koordinator Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN) Fakulti Pendidikan yang ditemuramah di dalam segmen Port Sport. Pengisian temubual ialah penganjuran International Virtual Educational Invention, Innovation and Design Competition 2020 (iVEDIIC2020) oleh Fakulti Pendidikan dan fokus perbincangan ialah kepada penyertaan produk-produk pendidikan yang berteraskan sukan dan kesihatan. Dr. Zarizi turut berkongsi dan menunjuk cara beberapa produk yang dihasilkan oleh pelajar PJK yang telah memenangi pingat di dalam iVEDIIC pada tahun-tahun sebelum ini.

Terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Planet Sukan, khususnya, dan RTM, amnya, di atas kesudian menjemput wakil Fakulti Pendidikan untuk perkongsian inisiatif dan galakan dalam melahirkan usahawan sukan. Jangan lepaskan peluang untuk menonton Planet Sukan yang bersiaran pada setiap hari Ahad, jam 10 malam di saluran TV1.