Penularan Wabak Covid-19 Bukan Penghalang Kerjasama antara UiTM dengan Universitas Bung Hatta, Indonesia
SHAH ALAM – Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah menantatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Universitas Bung Hatta, Indonesia (UBH) yang berlangsung secara maya menggunakan aplikasi dalam talian dari Bangunan Canseleri UiTM. MoU kali ini merupakan kesinambungan dari MoU lalu yang dimeterai pada tahun 2017 dan berakhir pada 10 Ogos 2020.
Majlis bersejarah ini ditandatangani oleh Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim dan disaksikan oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Jaringan Industri) FSPU, Profesor Datin Sr Dr Hamimah Adnan dan Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar) FSPU, Sr Dr Mohamad Sufian Hasim serta turut diraikan oleh wakil-wakil dari fakulti yang sama, yang terlibat secara aktif dengan aktiviti dua hala yang telah dijalankan selama ini. Manakala di pihak UBH, majlis MoU ini ditandatangani oleh Rektor UBH, Profesor Dr Tafdil Husni dan diserikan dengan kehadiran para Dekan serta wakil-wakil dari Fakultas Teknik Sipil dan Perencanaan, Fakultas Ilmu Budaya dan Fakultas Teknologi Industri.
“Alhamdulillah, walaupun dengan kekangan akibat penularan wabak Covid-19 yang melanda dunia pada hari ini, dapat kita bersama-sama bertemu secara maya untuk menandatangani sambungan MoU di antara UiTM dan Universitas Bung Hatta, Indonesia.” kata Profesor Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim dalam ucapan alu-aluan beliau. Tambah beliau lagi, “Sambungan MoU ini bertujuan untuk meneruskan jalinan kerjasama akademik yang telah sedia terbina antara UiTM dengan Universitas Bung Hatta semenjak tahun 2017 dalam bidang konservasi dan pasca bencana.”
Sepanjang tiga tahun MoU pertama dimeterai, banyak aktiviti yang telah kedua-dua pihak jayakan bersama. Selain daripada syarahan umum dari pensyarah UiTM dan UBH, antara aktiviti yang pernah dianjurkan termasuklah lawatan akademik dan kerja lapangan mahasiswa UBH ke Lembah Klang-Johor-Singapura pada Januari 2018, lawatan akademik pelajar FSPU dari Pusat Pengajian Ukur Bangunan (AP229) dan Sarjana Sains Pengurusan and Pemuliharaan Warisan (AP777) yang melibatkan kerja lapangan konservasi Rumah Gadang dan konservasi Kota Tuo Padang. Selain aktiviti konservasi, Pusat Pengajian Ukur Bahan (AP224) juga turut mendapat manfaat dari aktiviti-aktiviti timbal balas yang telah dijalankan sepanjang tempoh MoU yang lalu.
Aktiviti yang terlaksana sepanjang tempoh MoU yang lalu telah berhasil mengeratkan hubungan dua hala di antara warga UiTM dan warga UBH. MoU tersebut ternyata telah menjadi satu platform pertukaran idea serta mengeratkan hubungan silaturrahim sesama rumpun Nusantara disamping memupuk nilai-nilai murni menerusi program yang dijalankan. Profesor Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim mengharapkan MoU kali ini akan terus utuh menjadi wadah pertukaran kepakaran di antara kedua-dua universiti dengan peluang yang lebih cerah untuk menjalankan penyelidikan bersama dalam aspek senibina nusantara dan mendapatkan geran antarabangsa untuk tujuan berkenaan.