Profesion sebagai pemengaruh media sosial atau social media influencer merupakan satu gelombang baru abad ke-21. Terdapat pelbagai kategori pemengaruh daripada penulis blog, YouTubers hingga selebriti dan Instagrammers. Usahawan pemengaruh menawarkan pelbagai kelebihan seperti kebebasan dan fleksibiliti di tempat kerja, meneroka topik yang menarik minat anda, bekerja mengikut masa sendiri sambil menjana pendapatan. Selain itu kelebihan terbesar sebagai pemengaruh adalah anda adalah majikan anda sendiri dan berpeluang menawarkan peluang pekerjaan kepada orang lain. Antara peluang pekerjaan yang ditawarkan adalah juru gambar dan juru edit video.
Ketika dunia media sosial mula berkembang, pada mulanya Ana Syahida Ismail hanya berkongsi perkara kegemarannya dengan pengikut rapatnya sahaja kebanyakannya tentang pakaian, kecantikan, tempat-tempat menarik dan aktiviti harian. Dua tahun kemudian, Ana semakin aktif dengan menyuarakan pendapat, membahas pendapat orang lain di Twitter. Bermula dari situ, jumlah pengikutnya bertambah mencecah puluhan ribu. Semasa menjadi pelajar UiTM Kota Samarahan Sarawak (2015-2017), jumlah pengikut Instagram mula mencecah 5 ribu orang. Kemudian, tawaran untuk melaksanakan pemasaran digital mula datang dari pelbagai agensi. Selain itu, Ana juga mendaftarkan diri di beberapa laman web agensi-agensi pemasaran dan menyediakan kertas cadangan untuk mendapatkan tawaran dari mereka.
Terkini jumlah pengikut Instagram Ana adalah seramai 13,900 orang, manakala 24,700 pengikut di Twitter. Sebagai pelajar Sarjana Muda Sains (Kepujian) Pengkomputeran Perniagaan di FSKM Shah Alam, Ana memanfaatkan pelajaran dan pengalamannya sebagai pemengaruh pada subjek pembelajarannya iaitu Pembangunan Aplikasi Dan Perdagangan Elektronik. Teknik pemasaran digital melalui media sosial yang berkesan melayakkan Ana dan kumpulannya mewakili UiTM ke pertandinggan Global e-commerce Talent (GET) Challenge: Digital Entrepreneurship and Innovation Competition anjuran Alibaba Group di China pada bulan Julai 2019.
Tawaran tugasan pertama yang diterima adalah daripada syarikat Socialight Enterprise untuk mempromosi sebuah konsert hiburan; Bon Jovi Live di Malaysia pada tahun 2015. Untuk tugasan ini, Ana mendapat bayaran sebanyak RM300-RM500 dengan meletakkan tandapagar #BonJoviLive di Twitter dan Instagram. Sejak itu, Ana terus diberi kepercayaan untuk menjadi pemengaruh tetap di syarikat ini. Dalam pemilihan sesuatu ulasan produk, ada kalanya jenama tersebut yang akan menghubunginya. Kemudian melalui kontrak, Ana akan meneliti apa yang boleh disampaikan (berapa banyak catatan atau cerita yang perlu diterbitkan, jenis kandungan apa, bagaimana produk tersebut harus disebutkan dalam kandungan, tandapagar apa yang perlu digunakan, dan lain-lain). Sekiranya bersesuaian, Ana akan menerima tawaran tersebut.
Ana menyatakan bahawa karya atau kandungan sebagai pemengaruh bukan sahaja menarik penonton, tetapi juga penaja. Sekiranya berjaya menarik perhatian jenama yang berminat, seseorang pemengaruh itu mungkin menjadi pilihan pertama mereka. Ini bermaksud barang dagangan jenama dan produk sampel akan diberikan kepada.
Bayaran yang diterima sebagai pemengaruh bergantung kepada jumlah tawaran yang diperoleh dari agensi. Setiap satu ulasan, kadar minimum bayaran adalah RM350. Dalam sebulan anggaran sebanyak 5-10 tawaran diterima dari agensi tempatan dan agensi luar. Antara kontrak yang paling tinggi pernah diterima oleh Ana adalah sebanyak RM 5000 selama 6 bulan. Secara purata, dalam sebulan jumlah pendapatannya adalah sebanyak RM3000. Antara kempen atau tugasan yang pernah diterima adalah Kempen HelloBorneoHello oleh Tunetalk, Hero Remaja oleh Astro dan Banana Ice Cream oleh Walls.
Untuk menjadi seorang pemengaruh, secara peribadi Ana menasihatkan agar seseorang itu harus sentiasa yakin dan jujur untuk membuat ulasan atau tugasan. Tugasan perlu disiapkan dalam masa yang ditetapkan, kekal aktif di media sosial dan akaun haruslah di mod umum. Menurut Ana lagi, tidak dinafikan sekarang ini terdapat ramai pemengaruh-pemengaruh yang menjalankan perkhidmatan ini, namun seseorang itu haruslah kreatif dalam mencari dan menetapkan keunikan dan keistimewaan tersendiri. Sebagai contoh jika anda penggemar makanan, anda haruslah bercakap tentang makan dan semua kandungan yang berkaitan dengan makanan. Tambahan pula, jika ingin bergiat aktif sebagai pemengaruh, ia bukanlah berdasarkan jumlah pengikut di laman sosial. Apa yang penting ialah sentiasa aktif dan mengenalpasti pasaran tertumpu media sosial diri sendiri. Walaupun pemengaruh bukanlah sesuatu pekerjaan sebenar, namun sama seperti pekerjaan lain, pemengaruh datang dengan tanggungjawab, dan memerlukan kemahiran tertentu untuk berjaya.