UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) Pulau Pinang mempunyai cara tersendiri bagi memberi keceriaan kepada penuntut yang terkandas dan kakitangan bertugas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Menerusi program MusaadahCOVID19, seramai 530 warganya menerima hidangan set ayam goreng untuk makan tengah hari. Rektornya, Prof Madya Dr Mohd Hisbany Mohd Hashim berkata, inisiatif itu bagi membantu seramai 507 penuntut yang terkandas di dalam dan luar kampus, selain 23 kakitangan mereka.
Katanya, program itu turut berkolaborasi dengan QSR Brands, Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) dan Zakat Pulau Pinang (ZPP). “Ini cara kami raikan mereka yang tidak dapat pulang ke kampung dan berada di kolej kediaman masing-masing sepanjang PKP serta sebahagiannya yang tinggal di luar kampus.
“Kesemua mereka diberi hidangan tengah hari iaitu set ayam goreng KFC sebagai menu tambahan secara percuma,” katanya di Permatang Pauh, Bukit Mertajam, semalam.
Mohd Hisbany berkata, program terbabit dirancang bersama dengan pengurusan Eksekutif UiTM kampus Permatang Pauh selepas kunjungan mereka bagi melihat keadaan penuntut di kolej kediaman. “Sepanjang tempoh PKP, semua penuntut tidak dibenarkan keluar dari kawasan kampus. “Manakala mereka yang tinggal di luar kawasan kampus hanya dibenarkan mengambil bantuan makanan dan bahan kelengkapan dapur di pintu masuk utama kampus,” katanya.