UiTM Cipta Sejarah: Kini Tersenarai dalam Kedudukan 100 Terbaik Dunia menerusi UI GreenMetric World University Rankings 2025

SHAH ALAM, 5 Disember 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) melakar sejarah apabila tersenarai dalam 100 institusi terbaik dunia, berada pada kedudukan ke-94 menerusi UI GreenMetric World University Rankings 2025. Dengan lonjakan 13 anak tangga, UiTM berada dalam kelompok 5% universiti teratas dan mencapai kedudukan ke-5 pada peringkat nasional. Ini merupakan pencapaian terbaik UiTM sejak penyertaan pertamanya pada 2019.

Prestasi cemerlang UiTM tahun ini dipacu oleh dua kategori dengan skor tertinggi, iaitu Pengurusan Air dan Pengurusan Sisa, yang mencerminkan komitmen universiti terhadap pengurusan sumber yang mampan serta pelaksanaan inisiatif hijau secara menyeluruh di kampus. Edisi 2025 turut mencatatkan penyertaan tertinggi dengan penglibatan 1,745 institusi antarabangsa dan 91 institusi tempatan, sekali gus menjadikan pencapaian UiTM lebih signifikan.

Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin bin Sahib@Sahibuddin, menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian ini, “Alhamdulillah, pencapaian tersenarai dalam 100 Terbaik Dunia ini adalah bukti dedikasi UiTM terhadap kelestarian serta usaha bersama seluruh warga UiTM. Kejayaan ini akan terus memacu kita untuk memperkukuh inisiatif bagi menyokong aspirasi kemampanan global.”

UI GreenMetric World University Rankings menilai komitmen universiti terhadap pembangunan kampus hijau dan kemampanan alam sekitar. Penilaian dijalankan berdasarkan enam kategori utama, iaitu Infrastruktur dan Persekitaran, Tenaga dan Perubahan Iklim, Pengurusan Sisa, Pengurusan Air, Pengangkutan, serta Pendidikan dan Penyelidikan.

Pencapaian UiTM ini bukan sekadar peningkatan dalam penarafan, tetapi menandakan langkah penting universiti dalam memperkukuh inisiatif hijau dan kedudukannya sebagai peneraju kelestarian bertaraf dunia, selaras dengan piawaian pendidikan tinggi global dan aspirasi negara.