UiTM Perkukuh Jaringan Global Bersama Aceteam Networks dan International Battery Center

Dengkil, 7 November 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus mengorak langkah sebagai institusi pendidikan tinggi terkemuka dengan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Aceteam Networks Sdn. Bhd. dan Memorandum Persetujuan (MoA) bersama International Battery Center Sdn. Bhd. Majlis menandatangani perjanjian ini berlangsung di Bangunan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM Shah Alam, sekali gus menandakan komitmen universiti dalam memperkukuh jaringan strategik bersama pihak industri.

Kerjasama ini bertujuan mewujudkan hubungan rasmi yang menyokong pelbagai inisiatif dalam bidang akademik, penyelidikan, pembangunan pelajar dan tanggungjawab sosial. Antara fokus utama ialah pelaksanaan program latihan industri, pertukaran ilmu, pembangunan tenaga boleh diperbaharui serta projek kebajikan antarabangsa yang memberi manfaat kepada pelajar, staf dan masyarakat setempat.

Dalam ucapan aluan, YBrs. Prof. Ts. Dr. Hajah Nor Hayati Saad, Penolong Naib Canselor (Strategi) UiTM, menegaskan bahawa kekuatan jaringan strategik adalah kunci kejayaan universiti dalam menghadapi cabaran global. Beliau menyeru warga UiTM agar memanfaatkan peluang ini untuk memperkaya pengalaman akademik dan profesional, di samping meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui penguasaan kemahiran insaniah dan kompetensi teknikal.

Beliau turut menekankan penglibatan staf dalam program kolaboratif bagi memperkukuh budaya penyelidikan dan inovasi. Kerjasama ini dijangka melahirkan inisiatif berimpak tinggi di peringkat nasional dan antarabangsa, selaras dengan aspirasi universiti mencapai Petunjuk Prestasi (PI072) berkaitan keberkesanan MoU dan MoA bersama rakan industri.

Secara keseluruhan, pemeteraian MoU dan MoA ini bukan sahaja meningkatkan reputasi akademik UiTM, malah memperkukuh agenda pengantarabangsaan dan hubungan industri, sejajar dengan visi universiti untuk menjadi peneraju kecemerlangan global berteraskan ilmu dan inovasi.