UiTM Perkukuh Jaringan Akademik Antarabangsa Melalui Kolokium Kimia dan Seminar Sains Gunaan di UII

Yogyakarta, Indonesia, 17 Oktober 2025 – Fakulti Sains Gunaan (FSG), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak Kampus Tapah terus memperkukuh jaringan akademik antarabangsa apabila dijemput sebagai penceramah dalam Colloquium on Chemistry yang berlangsung di Fakultas Matematika & Ilmu Pengetahuan Alam (FMIPA), Universitas Islam Indonesia (UII). Penyertaan ini mengukuhkan agenda kolaborasi akademik dan pemindahan ilmu antara kedua-dua institusi yang telah terjalin sejak 2022, selaras dengan sasaran Performance Indicator (PI076 dan PI084) UiTM untuk memperluas jaringan strategik serantau.

Delegasi UiTM turut menyertai International Seminar on Science and Technology (ISSTEC 2025) yang diadakan di Auditorium Kahar Muzakkir, Kampus Terpadu UII. Seminar ini menghimpunkan ilmuwan dan penyelidik dari institusi berprestij Asia dengan ucap tama oleh tokoh antarabangsa seperti Prof. Daniel Wei-chung Miao (National Taiwan University of Science and Technology), Prof. Hiroyuki Nakamura (Institute of Science Tokyo), dan Prof. Teruna Jaya Siahaan (University of Kansas). Perbincangan ilmiah ini menzahirkan perkembangan terkini dalam penyelidikan sains gunaan, sekaligus memperkukuh jaringan ilmuwan serantau.

Selain itu, delegasi UiTM berpeluang melawat Centre of Essential Oil Studies (CEOS) untuk meninjau proses pengekstrakan minyak pati semula jadi daripada tumbuhan tempatan serta inovasi produk berasaskan minyak pati seperti lilin aroma terapi dan sabun pencuci yang berpotensi dikomersialkan. Lawatan ini membuka ruang kerjasama penyelidikan dan pembangunan produk antara UiTM dan UII.

Kolokium Kimia pada sesi petang menampilkan pembentangan oleh pensyarah FSG UiTM termasuk Pn. Nurul Amni Abdullah (inovasi membran komposit untuk pemulihan air), Dr. Nadia Nisha Musa (potensi kawalan bio dan ekologi serangga), dan Pn. Rabiatul Adawiyah Abdul Wahab (pembangunan kaca-seramik dopan nadir bumi untuk bahan pencahayaan putih).

Penyertaan aktif UiTM dalam program ini bukan sahaja memperkukuh pemindahan pengetahuan merentasi institusi, tetapi juga mencerminkan komitmen universiti dalam memperluas jaringan strategik antarabangsa, seiring aspirasi UiTM untuk menjadi institusi unggul di peringkat serantau dan global.