UiTM Kekal antara Universiti Terbaik Asia dalam QS World University Rankings: Asia 2026

SHAH ALAM, 4 November 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) berada pada kedudukan ke-116 dalam QS World University Rankings: Asia 2026, sekali gus menempatkannya dalam kalangan 8% universiti terbaik di Asia serta mengukuhkan peranannya sebagai peneraju dalam pendidikan dan penyelidikan berimpak tinggi. QS World University Rankings: Asia, edisi 2026 telah menilai sebanyak 1,526 buah institusi termasuk 550 penyertaan baharu. Walaupun persaingan tahun ini bertambah sengit, UiTM mencatatkan peningkatan sebanyak 17% dalam skor keseluruhan berbanding tahun sebelumnya, menandakan perkembangan positif, kecemerlangan dan daya saing yang kukuh dalam landskap pendidikan tinggi yang semakin kompetitif. 

UiTM terus mencapai kecemerlangan melalui pelbagai indikator utama, mendahului dalam Rangkaian Penyelidikan Antarabangsa dengan pencapaian skor tertinggi sebanyak 98.3, diikuti Reputasi Akademik dengan skor 89.9 dan Reputasi Majikan 89.8. Pencapaian ini menggambarkan jaringan kerjasama global UiTM yang kukuh serta pengiktirafan yang semakin meluas dalam kalangan rakan akademik dan peneraju industri. Lebih signifikan, indikator Staf dengan PhD mencatatkan lonjakan sebanyak lima kali ganda berbanding skor tahun sebelumnya. Pencapaian ini menyerlahkan tumpuan strategik UiTM dalam memperkukuh kapasiti akademik melalui pembangunan profesional berterusan, kecemerlangan penyelidikan dan pemerkasaan bakat unggul. 

Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin, menzahirkan rasa bangga dan bersyukur atas pencapaian tersebut. Menurut beliau, “Alhamdulillah, diiktiraf dalam kalangan 8% universiti terbaik di Asia merupakan satu pencapaian yang membanggakan UiTM. Setiap kejayaan yang diperolehi terbina atas semangat dan usaha gigih warga UiTM, yang sentiasa menjunjung misi universiti untuk melahirkan bumiputera yang tangkas, profesional dan berdaya saing.” Dengan visi yang jelas, UiTM akan terus komited memperkasa kecemerlangan dalam pendidikan, penyelidikan dan keusahawanan, demi memastikan sumbangan berterusannya terhadap kemajuan negara dan pembangunan global.