Program USR Antarabangsa UiTM Pulau Pinang di Aceh Tingkatkan Kolaborasi Pendidikan Tinggi

Permatang Pauh, 25 September 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang telah berjaya melaksanakan Program International University Social Responsibility at Aceh Indonesia 2025 selama lima hari bermula 24 hingga 28 September 2025. Program ini melibatkan 11 orang staf UiTM Pulau Pinang bersama lebih 150 orang staf dan pelajar dari Universitas Malikussaleh (UNIMAL), Indonesia. Inisiatif ini bertujuan memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua institusi melalui forum ilmiah, lawatan akademik, serta pelaksanaan program tanggungjawab sosial universiti (USR) kepada komuniti di Lhokseumawe dan Banda Aceh.

Program ini membuka ruang kerjasama dalam bidang penyelidikan, pembangunan komuniti dan pemerkasaan pelajar melalui pendekatan knowledge transfer. Unit ICAN PJI UiTM Pulau Pinang yang aktif dalam kesukarelawanan dan pembangunan komuniti bergabung dengan kepakaran UNIMAL dalam pengurusan komuniti pasca-bencana dan penyelidikan sosial. Kedua-dua universiti berkongsi visi memperkasakan pelajar dan masyarakat melalui program integratif merentas sempadan dan budaya.

Antara aktiviti berimpak tinggi ialah penanaman pokok bakau di pantai Rancond, Batu Phat, Lhokseumawe bersama pelajar UNIMAL dari Unit Kegiatan Mahasiswa, sebagai usaha kelestarian alam sekitar. Timbalan Rektor PJIM&A UiTM Pulau Pinang selaku penaung program menegaskan bahawa inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh jati diri dan kepimpinan mahasiswa, tetapi juga membuktikan komitmen UiTM melahirkan graduan yang cemerlang akademik dan memiliki kesedaran sosial tinggi.

Program ini menyumbang kepada Penunjuk Prestasi UiTM termasuk kolaborasi antarabangsa dan kesukarelawanan, serta menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) berkaitan kelestarian bandar dan pendidikan berkualiti. Kejayaan ini diharap menjadi model kerjasama pendidikan tinggi yang menggabungkan akademik, kesukarelawanan dan diplomasi budaya dalam satu platform bersepadu.

Disediakan oleh :Wan Zubaidah Wan Karma