
BANDUNG, 13 Oktober 2025 – Seramai 15 pelajar Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah berjaya menyertai program Global Academic and Volunteer Exchange 2025 (GAVE’25) di Universitas Komputer Indonesia (UNIKOM), Bandung. Program selama tujuh hari yang berlangsung dari 28 September hingga 4 Oktober 2025 ini menjadi platform penting dalam memperkukuh jaringan akademik antarabangsa serta memupuk kepimpinan global dalam kalangan pelajar UiTM.
Delegasi UiTM telah menyertai pelbagai siri perkongsian ilmu bersama pensyarah dan mahasiswa UNIKOM yang merangkumi topik kritikal berkaitan digitalisasi pendidikan, teknologi maklumat, artificial intelligence (AI), dan multimedia. Sepanjang program, pelajar UiTM berpeluang memperlihatkan idea dan semangat kolaboratif mereka dalam forum mahasiswa serantau, serta menyertai lawatan akademik ke makmal Codelabs dan stesen penyiaran UNIKOM TV.


Antara pengisian utama GAVE’25 ialah pelaksanaan Modul Asas Kemahiran Digital. Modul ini melibatkan tiga topik penting iaitu Microsoft Excel, Scratch (Visual Programming Language), dan Information Search Strategy. Melalui perbincangan akademik, pelajar UiTM berpeluang mengasah keterampilan mereka dalam menjawab cabaran teknologi serantau.
Selain pengisian ilmiah di kampus UNIKOM, delegasi UiTM turut menjalankan program khidmat komuniti (CSR) berbentuk literasi digital. Modul latihan ini dikendalikan bersama mahasiswa UNIKOM sebelum disampaikan kepada pelajar di SMK N5 Pangalengan. Aktiviti ini membuktikan peranan pelajar UiTM sebagai duta ilmu yang bukan sahaja cemerlang di bilik kuliah, malah turut menyumbang kepada pembangunan masyarakat serantau.
Delegasi turut berpeluang mengikuti lawatan akademik ke Wangunsari Farm, yang menekankan sistem pertanian hidroponik berasaskan teknologi Internet of Things (IoT). Pendedahan ini memberikan pengalaman berharga kepada peserta dalam memahami integrasi teknologi dalam pertanian pintar, selaras dengan keperluan Revolusi Industri 4.0.
Secara keseluruhan, program GAVE’25 berjaya menonjolkan UiTM sebagai institusi pendidikan tinggi yang komited memperluas kerjasama antarabangsa, memupuk nilai kesukarelawanan, dan memperkasa modal insan berdaya saing global.
Penulis: Dr Suzana Ahmad (Editor: FSKM News Team)
