
JENGKA, 5 November 2025 – UiTM Cawangan Pahang (UCPh), Kampus Jengka telah menganjurkan satu sesi pengajaran kolaboratif antarabangsa dalam bidang Matematik melibatkan kerjasama antara Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM), UiTM dan Fakultas Keguruan dan Ilmu Pendidikan (FKIP), Universitas Halu Oleo (UHO), Indonesia pada 7 Oktober 2025.
Sesi pengajaran selama dua jam yang bermula pada pukul 10.00 pagi ini memfokuskan kepada topik dalam subjek Kalkulus, melibatkan seramai 40 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Kimia. Program ini bertujuan memberi pendedahan antarabangsa kepada pelajar terhadap pendekatan pengajaran Matematik selain membuka ruang pertukaran ilmu dan teknik pedagogi antara dua institusi pendidikan tinggi.


Wakil UHO terdiri daripada tiga orang pensyarah iaitu Dr. Awaluddin, Prof. Dr. La Misu, dan Dr. Izlan Sentryo. Manakala UiTM diwakili oleh barisan pensyarah Pengajian Sains Matematik, FSKM UCPh iaitu Pn. Nur Hidayah Masni, Pn. Nazihah, Dr. Nor Fadhilah, dan Dr. Nurmarni Athirah.
Sesi ini bukan sahaja memperkukuh jalinan akademik antara UiTM dan UHO, malah memberi peluang kepada pelajar untuk merasai suasana pembelajaran yang inklusif dan merentasi sempadan negara.
Inisiatif ini sejajar dengan usaha UiTM untuk memperkukuh jaringan antarabangsa dalam bidang pendidikan tinggi, di samping menyokong pembangunan profesionalisme dalam pengajaran dan penyelidikan Matematik di peringkat global.
