
Segamat, 09 Oktober 2025 – International Technology Talent Competition 2025 (i-TeTa.2025) anjuran Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) dengan kerjasama Fakulti Sains Maklumat (FSM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor Kampus Segamat, telah berjaya menghimpunkan pelajar dan penyelidik dari Malaysia dan Indonesia dalam usaha memperkasa inovasi teknologi sejajar dengan aspirasi Dasar Ekonomi Digital Negara.
Program berprestij ini menjadi platform terbaik untuk menyerlahkan bakat serta kreativiti pelajar melalui tiga pertandingan utama iaitu Inovasi, Poster Multimedia, dan Pengaturcaraan dengan jumlah penyertaan sebanyak 182 penyertaan. Pertandingan Inovasi menampilkan tiga kategori utama: Sains dan Teknologi, Sains Sosial, serta Produk Idea, yang memperlihatkan daya cipta dan kebolehan peserta membangunkan solusi digital berimpak tinggi selaras dengan tema “Empowering Creativity and Technology for a Sustainable Growth”.
Pertandingan Poster Multimedia pula mengetengahkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) berteraskan tema “The Future with AI: Boundless Creativity”, membuka ruang kepada peserta untuk menghasilkan karya digital kreatif dan inovatif. Pertandingan ini turut memberi nilai tambah kepada peserta sekolah melalui pengiktirafan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
Dalam kategori Pengaturcaraan, peserta diuji dari aspek kepakaran teknikal dan keupayaan menyelesaikan masalah secara logik melalui platform DOMjudge, menguji ketangkasan minda dan keupayaan bekerja di bawah tekanan.
Majlis Penutup i-TeTa.2025 yang berlangsung pada 9 Oktober 2025 telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, FASc, Naib Canselor UiTM. Antara pemenang utama ialah projek Building Green: Fire Resistance-Partition Panels of AAC-SEMRW dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia bagi kategori Inovasi, poster bertajuk AI and Humanity: Growing a Sustainable World oleh Megat Muhammad Hadif dari SK Bukit Choras, Kedah bagi kategori Poster Multimedia, dan kumpulan HUA dari UiTM bagi kategori Pengaturcaraan.
Dengan sokongan industri, juri berpengalaman dan penyertaan pelajar berbakat, i-TeTa.2025 membuktikan potensinya sebagai pemangkin melahirkan generasi inovator yang bersedia mendepani cabaran dunia digital.
Penulis: Nafisah Jamingan@Amin
Suntingan: Siti Nordiyana Isahak
