
Bandar Enstek, 4 November 2025 – Conference of Heads of Academic Departments (CHAD) 2025 anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM) melabuhkan tirai dengan mesej utama: transformasi pendidikan masa depan mesti berteraskan kemanusiaan, bukan sekadar teknologi. Bertemakan “Memperkasa Kepimpinan Akademik dalam Era Transformasi Digital untuk Kecemerlangan Global”, CHAD 2025 menghimpunkan pengurusan akademik tertinggi UiTM seluruh negara di Institut Kepimpinan dan Pembangunan (ILD), Bandar Enstek.
Program anjuran Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) dengan kerjasama Jabatan Akademik dan Antarabangsa (JAnA) ini bukan sekadar wacana, malah mempamerkan inovasi digital melalui pendaftaran pengecaman wajah, paparan hologram 3D dan montaj video berasaskan kecerdasan buatan (AI).

Majlis perasmian disempurnakan oleh Profesor Dr. Yamin Yasin, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), yang menegaskan bahawa AI harus menjadi alat sokongan, bukan pengganti kebijaksanaan manusia. Beliau turut mengingatkan bahawa 85% ekosistem UiTM terdiri daripada generasi milenial, justeru universiti perlu menyediakan ruang pembelajaran yang sesuai untuk generasi digital yang kreatif dan pantas berubah.
Ucapan utama oleh Profesor Emerita Datuk Dr. Asma Ismail menyeru pendidik memperkukuh etika dan nilai kemanusiaan dalam pendidikan berasaskan teknologi. Beliau menekankan konsep humanity-centric learning serta kepentingan pembelajaran sepanjang hayat.
Sesi forum turut menampilkan pakar akademik dan industri yang membincangkan keupayaan digital pendidikan tinggi, inovasi AI, dan strategi merapatkan jurang digital melalui program seperti 42Network Malaysia. Perkongsian daripada Huawei dan Pixlr menonjolkan peranan teknologi dalam memperkasa pengajaran abad ke-21.
Kesimpulannya, CHAD 2025 menjadi platform penting untuk UiTM memacu paradigma baharu pendidikan yang inklusif, beretika dan lestari, sejajar dengan aspirasi universiti sebagai peneraju kecemerlangan global.
