UiTM, PETRONAS Dagangan dan MMCV Jayakan Program Pemuliharaan Bakau di Pulau Carey

SELANGOR, 8 September 2025 – Pesisir Pantai Tanjung Rhu, Pulau Carey telah menjadi lokasi penganjuran program khidmat masyarakat bertajuk “Beyond the Shoreline: Mangrove Planting as a Bridge to Education, Safety, and Enterprise” pada 22 Ogos 2025, hasil kerjasama strategik antara Jabatan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (HSE), PETRONAS Dagangan Berhad (PDB), Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam, dan Mah Meri Cultural Village (MMCV).

Program ini berjaya menghimpunkan seramai 75 peserta, terdiri daripada mahasiswa, pensyarah, sukarelawan industri dan komuniti orang asli Mah Meri, dalam usaha memperkukuh kesedaran terhadap pemeliharaan ekosistem pantai. Sebanyak 273 anak pokok bakau telah ditanam sebagai simbol komitmen terhadap kelestarian alam, manakala 50 anak pokok mengkuang pandan disumbangkan kepada 43 keluarga komuniti Mah Meri sebagai sokongan kepada pemerkasaan ekonomi tempatan.

Mahasiswa dari Bidang Grafik dan Media Digital, FSSR turut diberi peluang untuk menghayati nilai konservasi secara praktikal, memahami kepentingan ekosistem pantai, serta mengaplikasikan pengetahuan dalam reka bentuk penjenamaan dan dokumentasi program. Inisiatif ini menjadi platform kolaborasi rentas disiplin antara industri, universiti dan komuniti dalam memupuk kesedaran serta membina jaringan kerjasama jangka panjang.

Dr. Ravi Menon, Pengurus Kanan HSE PDB, menyifatkan program ini sebagai satu inisiatif strategik yang menyokong usaha kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan komuniti. Sementara itu, FSSR UiTM Cawangan Selangor menyatakan harapan agar program seumpama ini dapat dijadikan platform berterusan untuk memperkukuh hubungan industri-komuniti, mendidik generasi muda, dan memperkasa peranan universiti dalam agenda pemuliharaan alam sekitar.