UiTM Perak Sokong Kelestarian Alam Sekitar Melalui Program Gotong-Royong Perdana Madani

Parit, Perak, 27 September 2025 –Seramai 20 orang staf Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak telah menyertai Program Local Agenda 21 (LA21) Gotong-Royong Perdana Madani di Pekan Parit dan Program Penanaman Pokok di Pulau Cempakasari. Program ini dianjurkan oleh Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) bersempena Hari Cuci Malaysia 2025 Peringkat Daerah Perak Tengah, dan dirasmikan oleh YB Encik Khairudin bin Abu Hanipah, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak merangkap ADUN Belanja.

Program bermula pada jam 7.30 pagi di Dewan Ngah Sagor, Parit dengan sesi pendaftaran, diikuti aktiviti senamrobik, gotong-royong membersihkan kawasan, serta penanaman pokok di Pulau Cempakasari. Inisiatif ini selaras dengan Rancangan Tempatan Daerah Perak Tengah 2030 bagi memperindahkan landskap Pulau Cempakasari dan mempromosikan Pekan Parit sebagai destinasi pelancongan.

Selain itu, turut diadakan Pertandingan Pengumpulan Sisa Kitar Semula melibatkan kategori individu dari agensi kerajaan daerah. Sisa yang dikumpul termasuk plastik, kertas, minyak masak terpakai dan e-waste. Pertandingan ini menggalakkan amalan kitar semula serta memberi pendedahan mengenai pengurusan sisa elektronik.

Program ini memberi impak besar terhadap kelestarian Sungai Perak yang menjadi sumber air utama masyarakat setempat, sejajar dengan Perak Sejahtera 2030 dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke-6 yang menekankan akses kepada air bersih dan sanitasi lestari.

Sebagai pekan bersejarah, Parit terkenal dengan mercu tanda Jam Besar Parit yang melambangkan semangat perpaduan. Usaha memelihara sungai, warisan budaya dan identiti setempat adalah tanggungjawab bersama demi generasi akan datang.

Penyertaan UiTM Cawangan Perak dalam program ini memperkukuh hubungan strategik dengan pihak berkuasa tempatan dan komuniti, di samping menunjukkan komitmen universiti terhadap tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan kelestarian alam sekitar.