UiTM Melaka dan Kerajaan Negeri Perkasa Usahawan Digital Melaka

MELAKA, 22 September 2025 – Seramai 40 usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berjaya menamatkan latihan intensif dalam program “Branding & E-Dagang dan Penjenamaan Digital: Langkah Digital Usahawan Melaka” yang berlangsung di Mini Auditorium UiTM Kampus Bandaraya Melaka pada 26 Ogos 2025. Program ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka dan Kerajaan Negeri Melaka di bawah portfolio Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital.

Program ini dirangka bagi memperkukuh kemahiran usahawan tempatan dalam menghadapi cabaran ekonomi digital. Ia merangkumi tiga modul utama yang menggabungkan teori akademik dan pengalaman industri. Modul pertama, Branding dan Rekaan Digital, dikendalikan oleh Encik Mohd Hanif bin Mohd Omar dari Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM, memberi penekanan kepada pembinaan identiti jenama dan reka bentuk visual profesional.

Modul kedua dan ketiga, E-Dagang untuk Perniagaan dan Strategi Pemasaran Media Sosial, dikendalikan oleh Encik Wan Ahmad Afiq Noordin bin Wan Mohd Nasserudin dari Akademi Kepimpinan Anak Bangsa. Beliau berkongsi strategi membina kedai maya di platform seperti Facebook dan TikTok Shop serta teknik pengurusan jualan dan pembangunan kandungan media sosial yang menarik dan berkesan.

Program ini turut menampilkan dua pencipta kandungan digital terkenal, MakSalleh Kitchen dan Port Makan Malaya, sebagai fasilitator jemputan. Mereka berkongsi pengalaman membina jenama melalui kandungan kreatif di media sosial, termasuk teknik menghasilkan konten berimpak tinggi dan naratif visual dalam mempromosikan produk tempatan.

Pendekatan hibrid yang menyatukan teori, amali dan perkongsian dunia sebenar terbukti memberi impak besar kepada peserta. Menurut Mohd Farhan Azuan dari RMI Industries, gabungan ilmu teknikal dan pengalaman industri menjadikan sesi latihan mudah difahami dan sangat memberi inspirasi.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Dr. Mohd Halim Mahphoth, Penolong Rektor Kampus Bandaraya Melaka, mewakili YB Datuk Fairul Nizam Bin Roslan, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Negeri Melaka. Dalam ucapannya, beliau menegaskan komitmen UiTM dalam mendukung agenda pendigitalan negeri dan menyifatkan pendekatan praktikal serta libat urus industri sebagai formula terbaik untuk memastikan usahawan kekal relevan.

Pengarah Program, Encik Akmal Adanan, menyatakan bahawa inisiatif ini sejajar dengan Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035), khususnya di bawah Flagship 8. Beliau turut menyatakan hasrat untuk meneruskan program ini melalui siri latihan lanjutan atau pembukaan kepada kohort baharu pada masa akan datang.