Program Let’s Nihon-Go Perkukuh Hubungan Komuniti Melalui Bahasa dan Budaya Jepun

SHAH ALAM, 14 Oktober 2025 – Program Let’s Nihon-Go (Mari Belajar Bahasa Jepun) yang dianjurkan oleh Jabatan Pembangunan Komuniti Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah berlangsung dengan jayanya dari 5 Julai hingga 16 Ogos 2025 di Pusat Konvensyen MBSA Shah Alam. Program ini merupakan sebahagian daripada Kursus Bahasa Komuniti Shah Alam dan disertai oleh 30 peserta dari kalangan penduduk sekitar Shah Alam.

Program selama tujuh minggu ini dijalankan setiap hari Sabtu dengan bimbingan tiga pensyarah bahasa Jepun dari Akademi Pengajian Bahasa, UiTM Shah Alam yang mengajar secara pro-bono. Enam minggu pertama memberi fokus kepada asas bahasa Jepun, manakala minggu terakhir diserikan dengan aktiviti kapsul budaya Jepun seperti pemakaian yukata (kimono musim panas), pembuatan sushi dan seni balutan hadiah tradisional Jepun.

Selain menyediakan fasiliti bertaraf lima bintang, lima petugas MBSA yang diketuai oleh Encik Mohammad Mustaqim bin Hassanuddin, Penolong Pegawai Tadbir, turut memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran program.

Program ini turut diserikan dengan kehadiran wakil ALEPS (Persatuan Alumni Dasar Pandang Ke Timur) yang berkongsi pengalaman menimba ilmu dan memahami budaya Jepun dalam sesi interaktif bersama peserta. Sambutan hangat daripada komuniti menyebabkan penyertaan terhad kepada 30 orang sahaja, dan menariknya, tiada peserta menarik diri sepanjang program berlangsung.

Program Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara institusi, industri dan komuniti, tetapi juga menyemai semangat perpaduan melalui bahasa dan budaya. UiTM dan MBSA berharap program seumpama ini dapat diteruskan demi memperkasa jaringan komuniti dan mempromosikan kepelbagaian budaya dalam masyarakat.