
YOGYAKARTA, 16 Oktober 2025 — Seramai 14 pelajar Diploma Sains (AS120), Fakulti Sains Gunaan (FSG), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak Kampus Tapah telah menyertai program “Internationalization through Scientific Exploration: A STEM Education Summer Camp” yang berlangsung di Yogyakarta, Indonesia dari 22 hingga 26 September 2025.
Program ini telah membuka peluang kepada para pelajar untuk meneroka dunia sains dan teknologi dalam konteks antarabangsa, di samping menghayati keindahan budaya dan warisan ilmu di kota yang terkenal sebagai pusat pendidikan dan kebudayaan serantau.
Dilaksanakan dengan kerjasama Fakultas Matematika dan Ilmu Pengetahuan Alam (FMIPA), Universitas Islam Indonesia (UII), program ini menjadi platform penting dalam menghubungkan teori sains dengan aplikasi dunia sebenar. Para peserta telah menyertai pelbagai aktiviti termasuk lawatan akademik, sesi makmal, dan perkongsian ilmu bersama pensyarah serta pelajar antarabangsa, yang membuka dimensi baharu dalam pemahaman terhadap aplikasi STEM secara global dan berimpak sosial.


Antara pengalaman bermakna yang diperoleh termasuk kajian lapangan di Gumuk Pasir Parangkusumo dan Pantai Parangtritis, yang memperlihatkan fenomena geologi unik serta ekosistem pantai yang pelbagai. Lawatan ke Gunung Merapi pula memberi peluang kepada pelajar menyaksikan aplikasi sains geologi dalam memahami bencana alam dan adaptasi komuniti setempat. Selain itu, kunjungan ke Omah Oblong Jogja dan pusat pemprosesan Kopi Luwak memperkayakan pemahaman pelajar terhadap kreativiti industri tekstil dan inovasi dalam agroindustri.
Sepanjang program lima hari ini, para pelajar telah diiringi oleh barisan pensyarah FSG yang komited membimbing mereka untuk mengalami sains secara holistik — dari makmal ke lapangan, dari teori ke budaya. Antara tenaga pengajar yang terlibat ialah Dr. Emi Norzehan Mohamad Mahbob, Dr. Ahmad Nazeer Che Mat, Dr. Fathiah Abdullah, dan Dr. Noor Fadhilah Muhamad Sahapini.
Program ini telah berjaya memperkukuh jaringan akademik antara UiTM dan institusi rakan di Indonesia, serta memperkasakan pelajar sebagai duta kecil universiti. Melalui pengalaman antarabangsa yang menyeluruh ini, pelajar FSG bukan sahaja membawa pulang ilmu, tetapi juga inspirasi untuk terus melangkah lebih jauh dalam dunia sains dan teknologi global.
