NAHSSSE 2025 Perkukuh Semangat Kesukanan dan Jalinan Institusi Pengajian Tinggi

PUNCAK ALAM, SELANGOR – 4 September 2025 Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam telah menjadi tuan rumah kepada penganjuran National Allied Health Sciences Students Sport Event (NAHSSSE) 2025, yang berlangsung dengan jayanya dari 2 hingga 4 September 2025. Program tahunan peringkat kebangsaan ini dianjurkan oleh Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMF) Fakulti Sains Kesihatan dengan kerjasama persatuan dalaman fakulti berkenaan.

NAHSSSE 2025 menghimpunkan kira-kira 200 atlet mahasiswa dari institusi pengajian tinggi seluruh negara, termasuk Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), UiTM Bertam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), dan University of Cyberjaya (UoC). Acara sukan yang dipertandingkan merangkumi lima kategori utama: Futsal, Badminton, Bola Jaring, Bola Tampar dan Tarik Tali. Pertandingan berlangsung di beberapa lokasi sekitar kampus UiTM Puncak Alam seperti Surau Ibnu Sina, Gelanggang Casuarina, Dewan Serbaguna, Kolej Casuarina, Kolej Rafflesia, Dewan Pavilion dan Dewan Kuliah 500 Fakulti Farmasi.

Majlis Penutupan NAHSSSE 2025 telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Profesor Dr. Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Profesor Ir. Ts. Dr. Mohamad Hafiz Mamat, Timbalan Rektor (Penyelidikan & Inovasi) UiTM Cawangan Selangor yang menjalankan tugas Rektor; Profesor Dr. Mohd Haidzir Abd Manaf, Dekan Fakulti Sains Kesihatan UiTM; Encik Romizan Jathin, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar UiTM; Profesor Dr. Norazmir Md. Nor, Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM Cawangan Selangor serta wakil-wakil dekan dari universiti yang mengambil bahagian.

Majlis turut menyaksikan detik bersejarah penyerahan bendera NAHSSSE kepada wakil penganjur seterusnya, Universiti Putra Malaysia (UPM), sebagai simbol kesinambungan tradisi sukan antara mahasiswa sains kesihatan.

Kontinjen UiTM Kampus Puncak Alam telah dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan NAHSSSE 2025 dengan kutipan 2 pingat emas (Futsal dan Bola Tampar – kategori perempuan) serta 2 pingat perak (Bola Tampar – kategori lelaki dan Bola Jaring). Tempat kedua dan ketiga masing-masing dirangkul oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).