
Seremban, 10 September 2025 – Semangat inovasi pendidikan terus diperkasa melalui kolaborasi strategik antara Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Cawangan Negeri Sembilan dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Seremban menerusi penganjuran Pertandingan Anugerah Guru Inovatif Daerah Seremban 2025. Program berimpak tinggi ini bukan sahaja mengiktiraf usaha kreatif guru, tetapi juga menjadi jambatan ilmu antara universiti dan sekolah dalam memperkasa budaya inovasi di era pendidikan digital.
Majlis pelancaran pertandingan telah disempurnakan oleh Tuan Haji Norazam bin Haji Nayan, Pegawai Pendidikan Daerah Seremban, bertempat di Ruang Library Community Engagement (LCE), PTAR UiTM Kampus Seremban. Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa kolaborasi ini adalah langkah signifikan untuk melahirkan guru yang berfikiran kritikal dan kreatif, seterusnya mencipta pendekatan pengajaran yang lebih bermakna.


Pertandingan ini menyaksikan penyertaan 30 guru individu dan 10 kumpulan dari pelbagai sekolah di daerah Seremban, bersaing dalam empat kategori: Individu Prasekolah, Individu Sekolah Rendah, Individu Sekolah Menengah, dan Kumpulan Terbuka. Antara pemenang utama ialah SK Kompleks KLIA (Kategori Kumpulan Terbuka) dengan projek MadPal, SMK Senawang (Sekolah Menengah) dengan inovasi Thumb Scale 2.0, SK Ulu Beranang (Sekolah Rendah) dengan projek Qalbuddy, serta SK Taman Semarak (Prasekolah) dengan projek Kit Jelajah Huruf.
Setiap johan menerima Anugerah Platinum dan hadiah wang tunai sebagai pengiktirafan terhadap inovasi kreatif dan berimpak tinggi. Penilaian dikendalikan oleh 12 juri profesional, termasuk dua wakil UiTM iaitu Dr. Nurul Kamalia Yusuf dan Pn. Norashikin Mohd Mokhtar dari Akademi Pengajian Bahasa (APB), bersama panel pakar pendidikan.
Menurut Pn. Jamilah Md Yusoff, Ketua Perpustakaan PTAR UiTM Negeri Sembilan, kerjasama ini memperlihatkan komitmen PTAR sebagai hab ilmu dan inovasi yang mendukung aspirasi UiTM untuk memasyarakatkan pengetahuan. Program ini turut dihadiri lebih 100 tetamu termasuk wakil PPD, pentadbir sekolah dan warga UiTM.
Penganjuran ini selaras dengan aspirasi UiTM untuk mencapai kecemerlangan global melalui penglibatan aktif bersama komuniti, sejajar dengan slogan “Pembudayaan Ilmu Membentuk Adiwangsa”.
