
TAWAU, 27 Ogos 2025 – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Cawangan Sabah, Kampus Kota Kinabalu dan Kampus Tawau telah berjaya menganjurkan program Jelajah Aspirasi MPP UiTM Cawangan Sabah: Sentuhan Ilmu & Kasih Komuniti bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kinabutan 2, Tawau. Program ini merupakan inisiatif khidmat masyarakat yang bertujuan memperkukuh hubungan antara mahasiswa dan komuniti setempat.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Koordinator Kampus Tawau, Tuan Haji Muliyadi Hj Guliling, mewakili UiTM Cawangan Sabah. Pihak sekolah turut merakamkan penghargaan atas usaha murni keterlibatan mahasiswa dalam menyumbang kepada komuniti serta memperkukuh kerjasama antara institusi pendidikan tinggi dan sekolah dalam membentuk generasi muda yang berdaya saing.
Program selama tiga hari ini melibatkan seramai 15 orang sukarelawan terdiri daripada MPP dan staf UiTM Cawangan Sabah. Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan bagi menyemai nilai kepimpinan, empati dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar, di samping menyampaikan ilmu dan sumbangan kepada komuniti luar bandar.
Antara aktiviti utama ialah Ceramah “Speed Reading” yang melibatkan 160 pelajar Tingkatan 4, dikendalikan oleh Encik Romi Rampun @ Ramlan, Timbalan Ketua Pustakawan Kanan (M). Ceramah ini memberi pendedahan kepada pelajar tentang teknik membaca pantas yang dapat meningkatkan daya tumpuan dan kecekapan pembelajaran. Seterusnya, aktiviti Sentuhan Ilmu 3M (Membaca, Mengira dan Menulis) dijalankan secara interaktif bersama 180 pelajar Tingkatan 3 melalui pendekatan ‘fun and learning’.
Selain itu, sukarelawan turut berganding bahu bersama pelajar dalam aktiviti melakar dan mewarna mural di dinding utama sekolah. Projek mural ini menjadi simbol kreativiti, identiti dan semangat kolaboratif dalam menceriakan persekitaran sekolah. Gabungan elemen ilmu, pembangunan insan dan kesenian menjadikan program ini unik dan menyeluruh.
Program diakhiri dengan sesi penyampaian Sumbangan Rahmah kepada pelajar daripada keluarga B40 yang memerlukan. Jelajah Aspirasi MPP UiTM Cawangan Sabah ini diharap dapat dijadikan platform berterusan dalam mengangkat peranan mahasiswa sebagai agen perubahan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga prihatin terhadap kesejahteraan komuniti.
Penulis: Mohamad Khuzaimi Majid
Editor: Nurul Huda Roslan
