BioBridge 2025 Kukuhkan Jalinan Mahasiswa Malaysia–Indonesia Melalui Ilmu, Budaya dan Sukarelawan

KUALA PILAH, 9 Oktober 2025 – Persatuan Ijazah Sarjana Muda Biologi (BIOSMARTEAM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Kuala Pilah dengan kerjasama Himpunan Mahasiswa Biologi, Universitas Andalas, Indonesia telah berjaya menganjurkan Program BioBridge 2025 bertemakan “Tied by Cultures, United by Science” pada 27 September 2025. Program ini menjadi platform penting yang menghimpunkan mahasiswa dari kedua-dua negara bagi memperkukuh jaringan akademik, memupuk semangat kesukarelawanan, serta mempromosikan kepelbagaian budaya dan pendidikan tinggi di Malaysia.

Majlis Perasmian Pembukaan telah berlangsung pada 23 September 2025 di Dewan Kuliah 200, UiTM Kampus Kuala Pilah dan disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Alwi bin Mohd Yunus, Pengarah Institut Kepimpinan Pelajar UiTM yang hadir mewakili Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar). Turut hadir ialah Encik Mohd Zulhilmi bin Mohd Yunus, Menjalankan Tugas Timbalan Rektor Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Negeri Sembilan.

Dalam ucapannya, Dr. Alwi menegaskan bahawa program ini selaras dengan aspirasi universiti untuk memperkasa mahasiswa di peringkat global dan meningkatkan kebolehpasaran graduan. Beliau turut menyeru para peserta agar memanfaatkan peluang ini untuk membina sahsiah, kepimpinan dan empati terhadap masyarakat antarabangsa.

Antara pengisian utama program termasuk Forum Pelajar di Sekolah Menengah Sains Tuanku Ja’afar (SMSTJ), yang memberi ruang kepada mahasiswa berkongsi pengalaman akademik dan kepimpinan serta memberi inspirasi kepada pelajar sekolah untuk menyambung pengajian dalam bidang sains. Selain itu, aktiviti gotong-royong di Pantai Telok Kemang, Port Dickson yang dilaksanakan bersama Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan SWCorp telah memperkukuh semangat khidmat komuniti dan kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar.

Keseluruhan program mencerminkan komitmen UiTM dalam menyokong agenda Sustainable Development Goals (SDG), khususnya SDG 4: Pendidikan Berkualiti, SDG 11: Bandar dan Komuniti Mampan, serta SDG 17: Kerjasama Global. BioBridge 2025 bukan sekadar program akademik, tetapi satu gerakan kolaborasi antarabangsa yang menyatukan mahasiswa melalui ilmu, budaya dan amal bakti kepada masyarakat.

Penganjur berharap agar BioBridge menjadi jambatan berterusan yang menghubungkan sains, budaya dan masyarakat, serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pendidikan berkualiti dan melahirkan generasi muda yang berdaya saing di peringkat global.