
SURAKARTA, 14 Ogos 2025 – Centre for Innovative Delivery and Learning Development (CIDL), Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah mengadakan pertemuan rasmi bersama Fakultas Keguruan dan Ilmu Pendidikan (FKIP), Universitas Muhammadiyah Surakarta (UMS), Indonesia bagi membincangkan peluang kerjasama strategik dalam bidang akademik, penyelidikan dan inovasi pengajaran. Pertemuan ini menandakan langkah signifikan ke arah pengukuhan jaringan antarabangsa UiTM, khususnya dalam memperkasa pendidikan tinggi serantau.
Delegasi CIDL UiTM diketuai oleh Felo Collaborative Group 360 (CG360), Dianna Suzieanna Mohamad Shah, bersama dua ahli CG360 iaitu Mohamad Safwat Ashahri Mohd Salim dan Mohd Nur Fitri Mohd Salim. Mereka telah disambut oleh barisan kepimpinan FKIP yang diketuai oleh Prof. Dr. Anam Sutopo, M.Hum selaku Dekan, Dr. Muhammad Noor Kholid selaku Wakil Dekan Bidang Kerjasama dan Internasionalisasi, Nurgiyatna, S.T., M.Sc., Ph.D selaku Pengarah Direktorat Reputasi, Kemitraan dan Urusan Antarabangsa, serta Hepy Adityarini, Ph.D selaku Sub-Direktur Pembangunan Akademik dan Mobilitas.

Perbincangan antara kedua-dua institusi telah mengenal pasti pelbagai potensi kerjasama yang berimpak tinggi kepada komuniti akademik, termasuk penyelidikan bersama dalam bidang pendidikan, penerbitan artikel di jurnal berindeks antarabangsa, penganjuran persidangan dan seminar, program latihan serta perkongsian kepakaran. Turut dibincangkan ialah inisiatif mobiliti staf akademik dan pelajar yang dijangka dapat memperluas horizon ilmu dan pengalaman antarabangsa.
Sebagai langkah pelaksanaan awal, UiTM dan UMS telah bersetuju untuk menganjurkan Siri Webinar pada 17 September 2025. Webinar ini akan menampilkan dua tokoh akademik dari UMS, iaitu Prof. Dr. Budi Murtiyasa, M.Kom dan Dr. Endah Sudarmilah, S.T., M.Eng yang akan berkongsi pandangan tentang gamifikasi dan kecerdasan buatan (AI) dalam pendidikan. Penganjuran ini menjadi bukti komitmen kedua-dua universiti untuk memulakan kolaborasi dengan pendekatan yang nyata dan berimpak langsung kepada pensyarah serta pelajar.
UiTM percaya bahawa kerjasama antarabangsa ini akan menjadi asas kukuh kepada pelbagai inisiatif bersama yang lebih luas pada masa hadapan. Ia turut mencerminkan komitmen berterusan UiTM dalam mengangkat agenda inovasi pengajaran dan pembelajaran, sejajar dengan keperluan pendidikan abad ke-21. Melalui usaha ini, UiTM menzahirkan peranannya sebagai institusi unggul yang bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan negara, malah turut memperkasa kemajuan pendidikan serantau dan global.
