Program Mobiliti Pelajar UiTM Perkukuh Pemahaman Senibina Tradisional Lombok

LOMBOK, 30 Ogos 2025 – Seramai 16 pelajar Bidang Senibina Landskap dari Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam telah menyertai Program Mobiliti Pelajar bertemakan “Traditional Architecture of Lombok” yang berlangsung dengan jayanya di Universitas Mataram (UNRAM), Indonesia dari 18 hingga 30 Ogos 2025.

Program ini memberi peluang kepada pelajar untuk mendalami elemen senibina tradisional, warisan dan budaya setempat melalui lawatan akademik ke 15 lokasi ikonik sekitar Lombok. Antara lokasi yang dikunjungi termasuk perkampungan budaya seperti Sade, Senaru dan Sembalun; kawasan bersejarah seperti Kota Tua Ampenan dan Museum Negeri Nusa Tenggara Barat; landskap bandar seperti Mandalika, Universitas Mataram, Pusat Islam Mataram dan Sasaku; serta landskap semula jadi dan warisan seperti Taman Sangkareang, Pantai Kerandang, Taman Mayura, Taman Botani Narmada, Pantai Senggigi dan Pantai Malimbu. Lokasi-lokasi ini mencerminkan nilai estetika dan identiti Lombok sebagai sebuah pulau yang kaya dengan khazanah budaya dan keunikan senibina.

Program ini bukan sahaja memperkukuh pendedahan akademik pelajar, malah memperluas pemahaman tentang hubungan antara reka bentuk landskap dengan persekitaran sosio-budaya. Ia turut menjadi sebahagian daripada pelaksanaan Memorandum Persefahaman (MoU) dan Perjanjian Perlaksanaan yang telah dimeterai antara UiTM dan UNRAM pada 25 September 2023.

Kerjasama ini bertujuan memperluas jaringan akademik serantau, menggalakkan pertukaran ilmu serta memperkaya pengalaman pembelajaran pelajar melalui pendekatan berasaskan pengalaman. Sepanjang program dua minggu ini, pelajar telah diiringi oleh Dr. Mohamed Ikhwan Nasir Mohamed Anuar dan LAr. Dr. Mohd Zahid Mohd Salleh yang turut memainkan peranan penting dalam membimbing dan memantau aktiviti akademik sepanjang program berlangsung.

Dengan penglibatan aktif dua institusi serantau, program mobiliti ini diharap dapat melahirkan generasi profesional landskap yang memahami kepelbagaian budaya, menghargai warisan, dan mampu mengaplikasikan nilai-nilai tersebut dalam reka bentuk landskap yang lestari demi kepentingan masyarakat dan alam sekitar.