Program Interaktif Anak Neurodivergen dan Keluarga Perkukuh Agenda Inklusif Neurodiversiti

SHAH ALAM, 23 Ogos 2025Program Interaktif Anak Neurodivergen dan Keluarga bertemakan “Mindaku Unik: Membina Masyarakat Inklusif Neurodiversiti” telah berjaya menghimpunkan anak-anak neurodivergen bersama keluarga dalam suasana penuh interaktif dan mesra komuniti. Program ini merupakan inisiatif anjuran National Autism Resource Centre (NARC), Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan kerjasama The National Autism Society of Malaysia (NASOM), Yayasan Perpustakaan Raja Tun Uda (YPRTU), dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

Bertempat di Perpustakaan PPAS, Seksyen 13 Shah Alam, program ini telah dirasmikan oleh YBrs. Profesor TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah, Timbalan Naib Canselor (Industry, Community and Alumni Network – ICAN) UiTM. Turut hadir ialah Prof. Madya Ts. Dr. Norjansalika Janom, Dekan FSKM UiTM; Puan Sanizah Ahmad, Pengerusi NARC; wakil Unit Pengurusan OKU UiTM; serta wakil-wakil daripada PPAS, NASOM, YPRTU dan tetamu jemputan lain yang memberikan sokongan padu terhadap penganjuran program ini.

Program ini bertujuan memperkasa perkembangan kendiri anak-anak neurodivergen melalui aktiviti kreatif dan interaktif, di samping menyediakan ruang kepada ibu bapa dan penjaga untuk memperoleh pengetahuan, kemahiran serta sokongan komuniti. Antara pengisian utama termasuk Puppet Making & Storytelling, Fun with Scratch Programming, Fun with Canva Design, serta sesi perkongsian bertajuk “Membimbing Anak Neurodivergen Menghadapi Fasa Akil Baligh” yang disampaikan oleh Dr. Mohd Yusof Zulkefli dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM.

Menurut NARC, setiap anak mempunyai potensi unik yang wajar diraikan. Melalui program seperti ini, masyarakat dapat melihat kekuatan anak-anak neurodivergen sekali gus memupuk rasa hormat, empati dan penerimaan terhadap golongan ini.

Kerjasama strategik antara universiti, komuniti, agensi kerajaan dan NGO dalam menjayakan program ini memperlihatkan komitmen berterusan pelbagai pihak dalam mendokong agenda neurodiversiti di Malaysia. Program ini turut membuka ruang kepada ibu bapa untuk berkongsi pengalaman dan cabaran dalam membimbing anak-anak mereka, di samping menerima sokongan moral daripada komuniti.

Program Interaktif Anak Neurodivergen dan Keluarga diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif bersifat inklusif dan berkesinambungan, sekali gus menyumbang kepada pembentukan masyarakat penyayang dan prihatin terhadap keperluan anak-anak neurodivergen di negara ini.