Program ASEAN Classroom 2025 Perkukuh Jalinan Akademik dan Kefahaman Rentas Budaya

MELAKA, 18 September 2025 – Program ASEAN Classroom 2025 (ACL 2025) telah berlangsung dengan jayanya di Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka, Kampus Bandaraya, menghimpunkan seramai 50 mahasiswa antarabangsa dari Malaysia, Indonesia dan Rusia. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh En. Mohd Ab Malek bin Md Shah, Koordinator Jabatan Undang-Undang, UiTM Cawangan Melaka pada 28 Ogos 2025.

Penganjuran kali keempat ini merupakan inisiatif pengantarabangsaan yang menekankan pertukaran ilmu, perkongsian kepakaran dan pemahaman silang budaya dalam kalangan pelajar universiti serantau. Program ini turut disertai oleh warga sekretariat ACL 2025 dari UiTM Cawangan Melaka dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Sebanyak enam sesi pembentangan akademik telah diadakan, merangkumi bidang perundangan, sastera, seni dan budaya. Antara institusi yang mengambil bahagian termasuk USIM, Universitas Brawijaya (UB), Universitas Singaperbangsa Karawang (UNSIKA), Universitas Jenderal Soedirman (UNSOED) dan Moscow State Institute of International Relations (MGIMO), Rusia.

Antara penceramah jemputan yang berkongsi kepakaran mereka ialah:

  • Pn. Mimi Sofiah Ahmad Mustafa (UiTM Melaka) – Isu perundangan dalam ekopelancongan
  • Dr. Tri Setiadi (UNSIKA) – Hak harta intelek sebagai jaminan kredit
  • Dr. Chew Sze-Siong (UiTM Melaka) – Kepelbagaian kaum di Melaka
  • Muhammad Rusli Arafat (UNSIKA) – Viktimologi di ASEAN
  • Dheya Rahmawati (UNSIKA) – Perlindungan hak cipta
  • En. Mohd Adib Izzat Mohd Nor (UiTM Melaka) – Kelestarian ekopelancongan

Selain sesi akademik, program turut diserikan dengan Bengkel Menganyam Ketupat dan Permainan Rakyat, dikendalikan oleh Dr. Nor Asikin Shaharuddin, Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan (FPHP), UiTM Melaka bersama staf PTAR. Aktiviti ini memberi peluang kepada peserta untuk mengenali warisan budaya Melayu secara lebih dekat melalui pengalaman praktikal.

Turut hadir, Profesor Madya Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli, Head Coordinator International Law Unit (ILU), USIM merangkap Pengarah Projek ACL 2025, menyifatkan program ini sebagai platform penting dalam memperkukuh jalinan akademik, meningkatkan kesedaran pelajar terhadap warisan budaya serta memperluas rangkaian antarabangsa.

ACL 2025 merupakan hasil kerjasama antara Fakulti Syariah dan Undang-Undang, USIM dan Jabatan Undang-Undang, UiTM Cawangan Melaka, dengan sokongan PTAR, FPHP UiTM Melaka, Kelab Warisan Budaya (KWB) serta Unit Kesenian dan Kebudayaan UiTM Kampus Bandaraya. En. Mohd Ab Malek turut menyatakan keyakinan bahawa kolaborasi ini mampu diteruskan pada masa akan datang demi memupuk kefahaman rentas budaya dan memperkukuh hubungan strategik antara universiti serantau.