
Ipoh, 27 Julai 2025 – Program Batik Fusion Fashion Exhibition yang berlangsung selama tiga hari dari 25 hingga 27 Julai 2025 di AEON Mall Ipoh Station 18 telah berjaya menarik perhatian pengunjung dengan menampilkan keindahan seni batik clay dalam rekaan fesyen moden dan kontemporari. Program ini merupakan hasil kolaborasi antara People of Creative Talents (PORT) di bawah Dana Kreatif Perak dan Program Diploma Teknologi Seni Reka Fesyen, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, dengan penglibatan aktif para pelajar, pensyarah, serta penggiat seni batik tempatan dari Galeri Batik Nabihah.
Acara dimulakan dengan pameran produk kreatif dan diteruskan dengan pertunjukan fesyen yang mengetengahkan rekaan berasaskan batik clay hasil ciptaan pelajar dan pembuat batik tempatan. Pelbagai koleksi yang dipersembahkan memperlihatkan gabungan elemen warisan dan gaya semasa, sekali gus memukau para hadirin dengan keunikan tekstil tempatan yang diberi nafas baharu.


Program ini turut merangkumi pameran karya batik, demonstrasi pembuatan batik clay, serta sesi interaksi bersama pengunjung. Sepanjang program berlangsung, para pelajar berpeluang mengasah kemahiran komunikasi, pengurusan acara dan kepimpinan melalui pengalaman langsung yang berteraskan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning).
Menurut Mohammad Shafirul Riza Ibharim, Penyelaras Batik Fusion, “Penganjuran program ini membuktikan bahawa seni warisan seperti batik clay mampu terus relevan dalam arus fesyen semasa, malah menjadi elemen penting dalam pendidikan kreatif dan pembangunan pelajar.”
Program ini turut diserikan dengan kehadiran Profesor Madya Dr Muhamad Abdul Aziz Abdul Gani, Timbalan Rektor Penyelidikan, Industri, Masyarakat & Alumni; Profesor Madya Dr Mohamed Imran Mohamad Ariff, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik; dan Dr Shahrel Nizar Baharom, Ketua Pusat Pengajian Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka.
UiTM terus komited dalam menyokong program berteraskan budaya, inovasi dan penglibatan pelajar melalui pendekatan pendidikan yang holistik dan berimpak tinggi. Kejayaan Batik Fusion Fashion Exhibition diharapkan dapat membuka lebih banyak ruang kolaborasi antara institusi, industri dan komuniti seni tanah air, sekaligus memperkukuh kedudukan seni warisan dalam landskap kreatif negara.
