UiTM dan MBMB Meterai MoU Strategik Sempena Vibrant Melaka 2025

Melaka, 11 Julai 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) sempena Majlis Perasmian Penutup dan Majlis Makan Malam Vibrant Melaka 2025: Bridging Technology and Community for Urban Sustainability yang berlangsung di Hotel Swiss Garden, Melaka.

Majlis menandatangani MoU ini menyaksikan YBrs. Prof. Datuk Ts. Dr. Mohd Rasdi bin Zaini, Rektor UiTM Cawangan Melaka mewakili Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin bin Sahib@Sahibuddin, manakala Prof. Ts. Dr. Emma Marinie binti Ahmad Zawawi, Dekan Fakulti Alam Bina mewakili Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni), Prof. TPr. Dr. Jamalunlaili bin Abdullah. MBMB pula diwakili oleh YBhg. Datuk Hj. Shadan bin Hj. Othman, Datuk Bandar MBMB dan Tuan Muhammad Firdaus bin Shariff, Setiausaha Bandaraya.

Kerjasama strategik ini merupakan satu pencapaian penting dalam usaha UiTM memperkukuh kecemerlangan akademik dan penyelidikan melalui kolaborasi bersama pihak berkuasa tempatan. Antara bidang kerjasama yang dipersetujui termasuklah:

  • Pertukaran kepakaran, penyelidikan dan perundingan dalam bidang seni visual dan seni awam yang menyumbang kepada kelestarian serta keindahan bandar di bawah naungan MBMB
  • Penempatan pelajar diploma, ijazah dan pascasiswazah dari kedua-dua institusi untuk tujuan pengajian dan penyelidikan
  • Penganjuran bersama simposium dan konferensi berkaitan isu-isu penyelidikan dan pembangunan bandar

Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh YB Datuk Fairul Nizam bin Roslan, EXCO Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Negeri Melaka yang mewakili YAB Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf bin Yusoh.

MoU ini diharap menjadi pemangkin kepada pembangunan bandar yang lebih lestari dan berinovasi, selaras dengan aspirasi UiTM untuk memperkukuh jaringan industri dan komuniti serta menyokong agenda pembangunan negara.