UiTM Perkukuh Hubungan Malaysia–Indonesia melalui Sukarelawan Global di Lombok

Lombok, Indonesia, 6 Jun 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus memperkukuh komitmennya dalam membentuk generasi pemimpin berwawasan global melalui penganjuran Program Global Volunteering Exchange yang berlangsung dari 30 Mei hingga 6 Jun 2025 di Lombok, Indonesia. Program ini dianjurkan oleh Briged Sukarelawan UiTM, Pusat Kokurikulum dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), dengan kerjasama strategik University of Mataram, Yayasan Perkasa Siswa (YPS), Education Malaysia Indonesia (EMI) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Seramai peserta UiTM terlibat secara aktif dalam aktiviti kemasyarakatan melibatkan komuniti setempat Lombok. Program ini bertujuan memperkukuh hubungan dua hala Malaysia–Indonesia, menyemai semangat sukarelawan dalam kalangan mahasiswa dan membentuk kefahaman budaya serta kesedaran global yang lebih mendalam.

Menurut Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor (HEP) UiTM, program ini bukan sahaja memberi pengalaman sukarelawan antarabangsa tetapi juga membuka ruang kepada pelajar untuk memperluas horizon kepimpinan dan menyumbang secara langsung kepada masyarakat. “Penyertaan pelajar dalam aktiviti sebegini amat penting dalam pembentukan karakter kepimpinan dan semangat patriotisme,” katanya.

Ku Hadzrill Jeeffry Ku Hamzah, Penolong Pendaftar Kanan (Kokurikulum) selaku Penasihat Program, menjelaskan bahawa pelajar turut memperoleh kemahiran pengurusan dan pembangunan komuniti secara praktikal. “Keterlibatan langsung pelajar dalam aktiviti sosial bukan sahaja memperkukuh kompetensi insaniah, malah menyumbang kepada pembangunan lestari masyarakat setempat,” ujarnya.

Program ini turut membanggakan apabila Mohammad Saefullah Bin Noorpini, pelajar Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekatronik (Hons) UiTM, dijemput sebagai speaker jemputan dalam sesi Youth International Student Management Training. Dalam perkongsiannya, beliau menekankan betapa pengalaman tersebut telah memperluas jaringan profesional dan mempererat hubungan Malaysia–Indonesia secara mendalam.

Aktiviti program melibatkan penglibatan aktif pelajar bersama komuniti, kolaborasi akademik dan perkongsian idea antara dua negara, sekaligus memperkukuh kerjasama serantau melalui pendidikan dan khidmat masyarakat. Menurut Datuk Dr. Hasrol Jono, Pengarah Pusat Kokurikulum JHEP UiTM, program ini selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan pemimpin masa depan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga bertanggungjawab secara sosial dan berjiwa global.

Melalui usaha bersama pelbagai pihak, UiTM yakin bahawa program ini memberikan impak positif bukan sahaja kepada peserta, tetapi juga kepada komuniti Lombok, serta membuka lebih banyak peluang kolaborasi rentas sempadan pada masa akan datang.

Penyunting : Nor Azlin Rosli