
Shah Alam, 16 Julai 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus komited memperkukuh pembangunan pelajar secara holistik melalui pelancaran Program Transformasi Kemenjadian Pelajar Kokurikulum, yang dilaksanakan oleh Pusat Kokurikulum bersama Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP). Bertempat di Bangunan Canselori, UiTM Shah Alam, program ini menekankan pendekatan latihan serta pensijilan profesional bertaraf industri bagi pelajar kokurikulum, khususnya Komander Kesatria.
Program ini merupakan kesinambungan daripada kejayaan inisiatif terdahulu berasaskan kompetensi industri yang melibatkan pelaburan RM7.5 juta bagi program Certified System Analyst on AI. Kali ini, program diteruskan melalui pelaksanaan modul seperti AWS re/Start – program berasaskan kohort yang membangunkan kemahiran dalam cloud computing melalui pembelajaran praktikal, simulasi dunia sebenar dan bimbingan kerjaya. Peserta yang berjaya akan menduduki peperiksaan AWS Certified Cloud Practitioner, diiktiraf secara global oleh industri teknologi.
Inisiatif berimpak tinggi ini direalisasikan melalui aspirasi dan visi strategik YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin, Naib Canselor UiTM, dengan sokongan pelaksanaan oleh YBrs. Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor (HEP). Ia turut selaras dengan Model Pemerkasaan Mahasiswa UiTM (MPMU) yang bertujuan melahirkan mahasiswa berkebolehan tinggi, berkemahiran teknologi dan mampu bersaing dalam dunia industri yang pesat berubah.

Program ini menyasarkan penglibatan sehingga 6,000 pelajar tahun akhir dalam tempoh tiga tahun, bergantung kepada penyediaan dana dan tajaan. Di bawah tajaan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera, pelaksanaannya dijayakan melalui kerjasama strategik antara World Education Placement Services Sdn. Bhd. (WEPS) dan IEG Campus, melibatkan pelaburan keseluruhan sebanyak RM30 juta. Setiap peserta diperuntukkan RM5,000, sebagai geran perundingan yang dikendalikan oleh Datuk Dr. Hasrol Jono selaku Ketua Perunding, bersama Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi, Prof. Madya Ts. Dr. Basharudin Abdul Hadi dan Prof. Madya Dr. Alwi Mohd Yunus.
Majlis pelancaran turut diserikan dengan kehadiran kepimpinan industri dari WEPS, menzahirkan kerjasama erat antara akademia dan sektor profesional dalam memperkasa pembangunan modal insan nasional.
UiTM terus mengorak langkah memastikan graduan bukan sahaja cemerlang akademik, malah dilengkapi dengan kompetensi profesional, jati diri unggul, dan daya saing global. Program ini menjadi landasan penting dalam membentuk generasi kepimpinan pelajar yang bersedia menghadapi cabaran masa depan.
