UiTM Perak Raih Tempat Kedua Kategori Sains dan Teknologi di SULAM Showcase @ UiTM 2025

Shah Alam, 1 Julai 2025 — Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak sekali lagi mencipta kejayaan membanggakan apabila meraih tempat kedua dalam kategori Sains dan Teknologi menerusi program SULAM Showcase @ UiTM 2025 yang berlangsung di Dewan Kolej Seroja, UiTM Shah Alam. Program ini menghimpunkan projek berasaskan perkhidmatan masyarakat daripada pelajar seluruh UiTM dan memberi pengiktirafan kepada inisiatif yang memberi impak besar kepada komuniti serta menyokong aspirasi pembangunan mampan negara.

Kejayaan tersebut diraih melalui projek bertajuk “Rooted in Unity: A Community Greening Initiative”, hasil idea dan pelaksanaan Muhammad Amri Fikri Bin Noor Azman serta Muhammad Nizammuddin Bin Mohd Nasir, pelajar Program Senibina Landskap dari Fakulti Alam Bina, UiTM Cawangan Perak. Mereka mengikuti kursus LAN200: Park and Community Design di bawah bimbingan Dr Wan Noor Anira Hj Wan Ali @ Yaacob selaku pensyarah dan Resource Person SULAM bagi kursus berkenaan.

Projek ini dilaksanakan sepanjang sesi akademik 2023/2024, memfokuskan kepada usaha menghijaukan komuniti melalui pendekatan rekabentuk landskap berasaskan penyertaan masyarakat. Pelajar dan komuniti bekerjasama dalam mengenal pasti potensi ruang awam, membangunkan reka bentuk landskap yang sesuai dengan keperluan setempat, dan menyemai nilai tanggungjawab sivik serta kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar.

Inisiatif ini mendokong pelaksanaan Service-Learning Malaysia – University for Society (SULAM) oleh Kementerian Pendidikan Tinggi yang mengintegrasikan pembelajaran akademik dan khidmat komuniti secara langsung. Ia juga menyumbang kepada pencapaian Petunjuk Prestasi Institusi (PI) UiTM, khususnya penglibatan masyarakat dan pembelajaran berasaskan pengalaman, serta menyokong beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu SDG 11: Bandar dan Komuniti Mampan, SDG 13: Tindakan terhadap Perubahan Iklim, SDG 4: Pendidikan Berkualiti, dan SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat.

Antara impak utama program ialah peningkatan kesedaran masyarakat terhadap ruang hijau, pengukuhan kemahiran insaniah pelajar seperti kepimpinan dan komunikasi, serta penglibatan mereka dalam proses rekabentuk sebenar yang bersifat kontekstual dan inklusif.

UiTM Cawangan Perak menganggap pencapaian ini sebagai bukti keberkesanan pendekatan pembelajaran transformatif dan yakin kejayaan ini mampu menjadi inspirasi kepada lebih ramai pelajar untuk terus menyumbang kepada pembangunan komuniti melalui ilmu dan kreativiti ke arah kesejahteraan yang lestari dan inklusif.