
Seri Iskandar, 28 Jun 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Tapah menerusi Persatuan Siswa Siswi Sains Matematik (PERSIK) telah melaksanakan program khidmat komuniti bertajuk “Sentuhan Kasih, Jalinan Mesra” bersama penghuni Pusat Jagaan Warga Emas Titian Abadi, Seri Iskandar. Program ini merupakan salah satu usaha murni dalam memperkukuh peranan sosial mahasiswa dan menyemai nilai kemanusiaan serta kasih sayang merentas generasi.
Program tersebut telah disertai oleh 31 orang pelajar, terdiri daripada Ahli Jawatankuasa PERSIK, diiringi oleh Puan Samsiah Abdul Razak selaku penasihat persatuan. Turut hadir memberikan sokongan ialah Dr. Nurul Hafizah Zainal Abidin, Ketua Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM), bersama 17 orang penghuni warga emas, manakala Tuan Haji Ahmad bin Wanchik, Penyelia Pusat Jagaan, turut hadir memeriahkan suasana.
Tujuan utama program ini adalah untuk menghubungkan generasi muda dan warga emas melalui aktiviti mesra serta sokongan emosi, sekaligus membantu mengurangkan rasa kesunyian yang sering dialami oleh golongan berusia. Pelajar yang terlibat turut dididik tentang nilai tanggungjawab sosial dan semangat kesukarelawanan melalui interaksi penuh hormat serta aktiviti langsung bersama penghuni pusat jagaan.


Antara pengisian program ialah senaman ringan, permainan interaktif, serta sesi penyediaan dan penyampaian makanan tengah hari oleh para pelajar kepada warga emas. Mahasiswa turut menyumbang tenaga dalam kerja-kerja pembersihan kawasan dalam dan luar pusat jagaan, memperlihatkan kesungguhan mereka dalam membantu mencipta suasana yang lebih selesa dan menyenangkan bagi para penghuni.
Dalam ucapan ringkasnya, Tuan Haji Ahmad bin Wanchik menyampaikan penghargaan kepada UiTM Cawangan Perak dan para pelajar atas kesudian mereka meluangkan masa dan berkongsi kasih sayang dengan warga emas. Beliau menyifatkan program ini sebagai satu inisiatif yang membawa “sinar keceriaan dan impak emosi yang positif” kepada penghuni pusat jagaan.
Secara keseluruhannya, “Sentuhan Kasih, Jalinan Mesra” bukan sahaja memberi impak kepada komuniti warga emas, malah membina pengalaman bermakna kepada mahasiswa dalam mempraktikkan nilai kepedulian sosial. Ia sekali gus memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dan komuniti setempat, serta membuktikan bahawa UiTM bukan sekadar institusi akademik, tetapi juga pemangkin kesejahteraan masyarakat.
