
Dengkil, 12 Julai 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor menerusi Pusat Asasi UiTM Dengkil terus memperkukuh komitmen terhadap pendidikan komuniti melalui penganjuran School Outreach Programme II: Reproductive Health for Community, bertempat di Maahad Integrasi Tahfiz Sains (MITS), Bagan Lalang, Selangor. Program ini merupakan kesinambungan daripada kejayaan edisi pertama pada tahun 2024 dan sekali lagi menerima sambutan yang luar biasa, melibatkan lebih 200 pelajar MITS sebagai peserta utama.
Program ini dilaksanakan melalui kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) dan Institut Pengurusan Pengetahuan dan Analitik (ICAN), serta mendapat sokongan aktif daripada 8 orang pensyarah Biologi UiTM Dengkil, 10 alumni Asasi di bawah naungan Persatuan Alumni Pusat Asasi (LeGAsi), serta badan bukan kerajaan, MyHeart. Lebih membanggakan, 15 pelajar MITS yang menyertai program tahun lalu telah kembali sebagai fasilitator junior, menunjukkan kesinambungan impak dan kepimpinan pelajar yang berkesan.


Program ini memberi tumpuan kepada aspek kesihatan reproduktif dan seksual dengan pendekatan pendidikan interaktif dan pameran berasaskan nilai. Para pelajar didedahkan dengan ilmu berkaitan sistem pembiakan manusia, pencegahan penyakit jangkitan seksual (STI), isu kehamilan remaja, serta kepentingan penjagaan kesihatan diri. Penekanan turut diberikan kepada pemupukan sikap bertanggungjawab dan nilai moral sebagai asas pembinaan sahsiah remaja.
Seiring dengan aspirasi UiTM sebagai Globally Renowned University 2025 (GRU2025), program ini mencerminkan pendekatan pendidikan yang inklusif dan bersifat komuniti. Ia juga menyokong pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya SDG 3: Kesihatan Baik, SDG 4: Pendidikan Berkualiti dan SDG 5: Kesaksamaan Gender. UiTM terus menawarkan kepakaran dalam menjawab cabaran kesihatan dalam kalangan remaja melalui projek bersasar yang dilaksanakan secara percuma namun berimpak jangka panjang terhadap kesejahteraan komuniti.
Pihak Pusat Asasi UiTM Dengkil merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Kerjasama yang utuh antara universiti, alumni, NGO dan sekolah menzahirkan keupayaan UiTM untuk terus menjadi peneraju dalam pendidikan berteraskan komuniti dan pembangunan insan.
Penyunting: Ainul Hafiza Abdul Hair
