UiTM dan Pejabat Pertanian Perak Tengah Kolaborasi Demi Pertanian Mampan

Seri Iskandar, 20 Jun 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak terus memperkukuh peranannya dalam pendidikan pertanian moden apabila menerima sumbangan satu set sistem hidroponik daripada Pejabat Pertanian Daerah Perak Tengah. Sumbangan ini merupakan hasil permohonan oleh Dr. Wan Noor Anira Hj. Wan Ali @ Yaacob, selaku Jurulatih Program Kokurikulum Usahawan Tani (HGD145) kampus berkenaan.

Majlis penyerahan rasmi telah diadakan pada 20 Jun 2025, disempurnakan oleh Puan Rohani Mohd Soffie, Penolong Pegawai Pertanian dari Pejabat Pertanian Daerah Perak Tengah; Puan Hadijah Salleh, Penolong Pendaftar Kanan Unit Kokurikulum UiTM Cawangan Perak; serta barisan jurulatih program kokurikulum yang terlibat.

Proses pemasangan sistem hidroponik telah dilaksanakan oleh kakitangan teknikal Pejabat Pertanian, dibantu secara langsung oleh pelajar Kokurikulum Usahawan Tani (HGD145). Penglibatan aktif pelajar ini memberikan nilai tambah kepada pengalaman pembelajaran amali mereka, selain memperkenalkan teknologi pertanian berasaskan konsep hijau dan mampan.

Sebagai kesinambungan, satu majlis rasmi pada 5 Julai 2025 bakal diadakan bagi menyempurnakan penyerahan simbolik dan melaksanakan sesi pembelajaran hands-on berkaitan kaedah penanaman hidroponik. Program ini turut mendapat sokongan daripada Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP), Unit Kokurikulum dan pasukan Green Campus (Team 4) UiTM Cawangan Perak, selaras dengan aspirasi universiti memperkasa pembelajaran berasaskan pengalaman dan kelestarian kampus.

Inisiatif ini merupakan antara usaha strategik UiTM dalam memperkukuh peranan institusi pendidikan tinggi dalam pembangunan ekosistem keusahawanan tani, serta melengkapkan pelajar dengan kemahiran teknikal dan pengetahuan agroindustri yang relevan. UiTM Cawangan Perak merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pejabat Pertanian Daerah Perak Tengah atas sokongan dan kerjasama berterusan dalam memperkasa pembangunan potensi mahasiswa dalam bidang pertanian moden.