UiTM dan NANOTEC Thailand Jalinkan Kerjasama Strategik Nanoteknologi

Nakhon Ratchasima, 29 Julai 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang sekali lagi membuktikan kecemerlangan dalam bidang penyelidikan apabila pasukan penyelidik dari Pengajian Kejuruteraan Kimia berjaya melaksanakan eksperimen berimpak tinggi menggunakan teknik X-ray Absorption Spectroscopy (XAS) di Synchrotron Light Research Institute (SLRI), Thailand. Penyelidikan tersebut dilaksanakan sempena lawatan akademik yang berlangsung dari 13 hingga 17 Jun 2025, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh jaringan penyelidikan antarabangsa dalam bidang nanoteknologi.

Pasukan penyelidik yang diketuai oleh Dr. Rasyidah Alrozi bersama pelajar PhD, Riza Lydia Liyana Rizalmen, telah melaksanakan ujian XAS selama 48 jam tanpa henti, membolehkan mereka menganalisis struktur atomik logam dalam matriks nano-komposit dengan resolusi tinggi. Menurut Dr. Rasyidah, “Penggunaan fasiliti synchrotron ini memberikan keupayaan luar biasa dalam menganalisis bahan pada skala atom. Data yang diperoleh telah menunjukkan peningkatan ketara dari segi sensitiviti pengesanan, dan ini sangat penting untuk memahami interaksi di peringkat nano.”

Lawatan penyelidikan turut merangkumi sesi pertemuan strategik bersama National Nanotechnology Center (NANOTEC) di Bangkok, dengan pertukaran kepakaran bersama pakar nanoteknologi Thailand. Pensyarah kanan, Dr. Nor Aida Zubir, menjelaskan bahawa kerjasama dua hala bersama Dr. Pongtanawat dan pasukan NANOTEC telah membuka ruang kepada penambahbaikan protokol sintesis dan pencirian nanopartikel untuk aplikasi pengimejan spektroskopi. “Kolaborasi ini bukan sahaja mempertingkatkan kefahaman saintifik, tetapi turut membantu memperkemas teknik sintesis bagi meningkatkan keberkesanan nanopartikel dalam aplikasi pencitraan,” ujar beliau.

Di samping penyelidikan, pihak SLRI turut memberikan bimbingan teknikal dalam pengendalian peranti berimpak tinggi, memastikan proses pengambilan data berlangsung secara lancar dan efisien.

Kejayaan ini mencerminkan komitmen UiTM dalam memperkasakan akses kepada teknologi penyelidikan bertaraf dunia, sekaligus mengukuhkan reputasi Pengajian Kejuruteraan Kimia UiTM Pulau Pinang sebagai pusat kecemerlangan penyelidikan nanoteknologi yang diiktiraf di peringkat global.