
Jengka, Pahang – 4 Julai 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang menerusi Fakulti Perladangan dan Agroteknologi berjaya menganjurkan program khidmat komuniti SULAM bertemakan “Tiny Hands, Big Garden”, yang berlangsung di Tabika KEMAS Felda Jengka 2. Program ini disertai oleh pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi dan Pengurusan Perladangan, bersama kanak-kanak, ibu bapa dan masyarakat setempat dalam usaha menyemai minat awal terhadap bidang pertanian dan kelestarian alam sekitar.
Program ini berfungsi sebagai platform pendidikan luar bilik darjah bagi memperkenalkan asas pertanian kepada kanak-kanak sejak usia muda. Antara aktiviti utama yang dijalankan termasuk penyediaan batas dan medium tanaman, serta penanaman sayur-sayuran seperti cili dan kangkung, di mana peserta cilik dibimbing secara langsung oleh para mahasiswa UiTM. Aktiviti hands-on ini telah membuka peluang kepada kanak-kanak untuk mempelajari teknik asas bercucuk tanam dalam suasana santai dan menyeronokkan.
Lebih bermakna, penglibatan aktif ibu bapa dan komuniti Felda dalam aktiviti berkebun menjadikan program ini sebagai satu pendekatan holistik yang menyatukan pendidikan, kekeluargaan dan komuniti. Program ini turut berjaya memupuk semangat kesukarelawanan, tanggungjawab sosial dan sokongan terhadap pendidikan awal kanak-kanak dalam kalangan peserta.

Sebagai kesinambungan, setiap kanak-kanak menerima kit tanaman untuk amalan di rumah, sekali gus menggalakkan kesinambungan pembelajaran dan penjagaan bersama keluarga. Hasil tanaman yang dibawa pulang berfungsi sebagai dorongan untuk terus meneroka potensi pertanian sebagai sumber pendapatan dan gaya hidup lestari.
Puan Hazwani Idawati Mahamud, Pengerusi Tabika KEMAS, menyatakan bahawa program ini bukan sahaja menyokong pembelajaran berasaskan pengalaman, malah membentuk generasi muda yang peka terhadap kelestarian alam sekitar, keselamatan makanan dan kehidupan berdikari. Beliau menyifatkan pendekatan ini sebagai contoh kolaboratif berimpak tinggi yang wajar diperluaskan ke komuniti lain.
Inisiatif “Tiny Hands, Big Garden” sekali lagi memperkukuh peranan UiTM dalam memacu pendidikan berorientasikan komuniti dan kelestarian, selaras dengan aspirasi pembangunan mampan dan pemerkasaan generasi masa hadapan.
Penulis: Nur Suraya Abdullah
