
PUNCAK PERDANA 24 Jun 2026 – Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Cawangan Selangor dan Unit Kesihatan dengan kolaborasi bersama Unit Psikologi dan Kaunseling UiTM Cawangan Selangor telah berjaya menganjurkan Program Sejiwa Sihat 2025 yang berlangsung dengan jayanya di Masjid Ar-Raudhah, Seksyen U10 pada 21 Jun 2025. Tujuan program ini adalah untuk memupuk kesedaran kesihatan, memperkasakan kesejahteraan mental dan fizikal, serta mengeratkan hubungan antara warga kampus dan komuniti.
Hadir meluangkan masa menyantuni para mahasiswa dan komuniti setempat adalah YBrs. Profesor Dr Ahmad Taufek Abdul Rahman, Rektor UiTM Cawangan Selangor. Pelbagai aktiviti menarik turut disediakan sepanjang program berlangsung, antaranya termasuk aktiviti brisk walk sambil mengutip sampah sebagai inisiatif penjagaan alam sekitar, sesi terapi seni (art therapy) yang memberi ruang kepada peserta mengekspresikan emosi secara kreatif, serta pemeriksaan kesihatan percuma bagi meningkatkan kesedaran tentang penjagaan kesihatan diri.
Lebih daripada sekadar inisiatif kesihatan, program ini menjadi wadah memperkukuh nilai kesedaran, kepedulian dan kebersamaan antara warga kampus dan komuniti setempat. Inisiatif seperti ini memperlihatkan komitmen UiTM Cawangan Selangor dalam membina komuniti yang sejahtera, prihatin dan saling menyokong. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan secara berkala sebagai platform pemerkasaan kesihatan menyeluruh.


Penulis: Nor Azyyati Md Saad
Editor: Nor Azyyati Md Saad
